RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipasak.blogspot.com

Sabtu, 28 Januari 2012

Temui Gas Asli


PENEMUAN GAS ASLI

PASIR MAS, KELANTAN:  KELANTAN yang dikenali Tanah Serendah Sekebun Bunga sememangnya kaya dengan khazanah bumi yang kurang diberikan perhatian untuk diteroka oleh pihak kerajaan negeri serta badan-badan terlibat. Selain minyak, bijih besi, berlian dan emas yang pernah ditemui di beberapa pelosok negeri Kelantan, kini gas pula ditemui yang menggambarkan negeri Cik Siti Wan Kembang ini memang bertuah kerana kaya dengan hasil bumi yang dianugerahkan oleh Allah sebagai sumber ekonomi dan rezeki para penduduknya.

Menjejaki penemuan gas, Penulis mengambil kesempatan menemui Che Ghazali Awang Kechik, 52, dari Kampung Kubang Chenok, Tok Uban dekat sini iaitu kira-kira 14 kilometer (8 batu) dari pusat bandar Pasir Mas bagi mengetahui pengalamannya menemui gas tersebut.

Menurut Che Ghazali, pada awal penemuan gas berkenaan ialah sewaktu beliau masih lagi dalam usia kanak-kanak kira-kira pada tahun 1954. Pada waktu itu beliau telahpun terhidu suatu bau yang amat busuk, namun beliau kurang pasti tentang bau yang agak pelik itu sebenarnya gas. Tetapi kini, gas dikesan wujud di kampungnya itu pada akhir tahun 2003.

"Masa saya kanak-kanak dulu, saya sudah terhidu bau yang pelik itu. Tetapi disebabkan saya masih kanak-kanak, kefahaman pun tidak ada bahawa yang berbau busuk itu adalah gas. Bila dah usia begini barulah perasan", ujarnya

Bermulanya beliau menemui gas itu sewaktu beliau meminta pihak Jabatan Kesihatan menggerudi tanah bagi mewujudkan sebuah perigi untuk tujuan mendapatkan bekalan air sebagai kegunaan di rumahnya. Pihak terbabit menggunakan peralatan menggerudi tanah dan dapat menggali dengan kedalaman sekurang-kurangnya 24 meter (80 kaki) atau empat batang paip.

Dalam masa setengah jam sahaja, bekalan air berkenaan tersembur keluar dari bumi, tetapi paling menghairankan pihak yang mengendalikan peralatan itu ialah dengan tiba-tiba enjin penggerudi itu mati dengan sendirinya. Semburan air keluar dari bumi semakin kuat setinggi pohon kelapa mencecah 15 meter (50 kaki) sehingga menyebabkan persekitaran halaman rumahnya banjir.

Usaha menggerudi tanah tersebut terpaksa dihentikan buat sementara waktu berikutan peristiwa aneh ketika itu. Akibat daripada sifat ingin tahu, pihak yang mengendalikan peralatan menggerudi itu datang ke arah lubang yang dapat dikorek. Alangkah terkejutnya kerana beliau mendapati ada sesuatu yang menyebabkan lubang yang digalinya menggelegak dengan kuat dari dalam bumi.

Melihat keanehan itu, pada perkiraan orang yang mengendalikan jentera menggerudi mengesyakki bahawa sesuatu yang menggelegak dalam lubang yang digalinya itu adalah gas. Beliau pada mulanya bercadang untuk menyalakan pemetik api untuk menguji adakah sesuatu yang keluar dari dalam bumi dengan mengeluarkan bunyi yang berdesir itu benar-benar gas atau sebaliknya. Pada mulanya, pembantunya menegah supaya tidak memasang pemetik api kerana dibimbangi berlakunya kebakaran dan letupan yang kuat. Namun, hasratnya itu diteruskan juga dan apabila api dinyalakan, gas yang dimaksudkan itu terus menyambar api dari pemetik apinya dan sahlah baginya bahawa sesuatu yang keluar dari lubang itu adalah gas.

Akibat daripada tindakannya itu menyebabkan api terus marak menyala di tempat keluarnya gas dari lubang yang digalinya. Keadaan menjadi kelam-kabut sehingga memaksanya menggunakan jentera menggerudi itu dengan mencurahkan air ke arah api yang sedang marak menyala. Lebih kurang setengah jam kemudian barulah api tersebut dapat dipadamkan.

Disebabkan kewujudan gas tersebut, perigi yang pernah digalinya sebelum ini airnya tidak digunakan langsung kerana berbau busuk. Ini kerana menurutnya, air yang kelihatan dalam perigi tersebut berwarna biru untuk menunjukkan kehadiran gas terbabit. Akhirnya, beliau terpaksa menggali perigi yang kedua dengan harapan untuk mendapatkan sumber bekalan air ke rumahnya. Tetapi masalah air berbau yang berpunca dari gas tersebut masih wujud. Masalah demikian bukan sahaja dialami olehnya tetapi jiran-jirannya juga turut mengalami perkara yang sama.

Apabila ditanya, adakah masalah air berbau gas hanya dialami oleh keluarganya. Beliau menjelaskan, jiran-jirannya juga mengalami perkara yang sama malah sejauh dua kilometer sehingga ke simpang jalan masuk ke kampungnya. Jika penggalian hingga mencecah 20 kaki ke dalam tanah, sudah tentu seseorang penggali akan menemui gas tersebut.

Selain masalah air perigi berbau busuk yang berpunca daripada kehadiran gas berkenaan, masalah apabila hujan turun juga turut menambahkan sesuatu yang tidak pernah diduga olehnya. Ini kerana menurutnya, apabila hujan mencurah turun di halaman rumahnya baru-baru ini didapati wujudnya buih-buih keputihan. Seingatnya, buih-buih putih itu untuk menunjukkan air hujan yang pastinya meresap ke dalam tanah, tetapi dugaannya itu adalah sebaliknya.

Sebenarnya, buih-buih putih yang wujud di halaman rumahnya tatkala hujan turun untuk menunjukkan tindakbalas di antara air hujan dengan gas itu. Kekuatan gas itu walaupun dalam keadaan berbuih sebenarnya boleh menyebabkan api boleh menyala dan terbakar.

"Peristiwa hujan turun baru-baru ini menyebabkan wujudnya buih-buih putih seperti air sabun. Apabila dinyalakan api, gas itu menyambar api malah terus menyala dan terbakar", katanya.

Masalah lain yang diketahui wujud akibat kehadiran gas di sekitar rumahnya ialah kebanyakan ikan yang dapat hidup di dalam sawah padi hanyalah ikan puyu sahaja. Ikan-ikan lain seperti keli dan haruan kini semakin pupus. Manakala buah-buahan seperti durian tidak lagi dapat berbuah dan musnah. Tetapi buah-buahan asam seperti mangga dan kuini seolah-olah mandul walaupun pohonnya hidup subur. Hanya yang berbuah lebat seperti kelapa dan pinang sahaja.

Hakikatnya, beliaulah orang pertama yang menemui gas asli berkenaan sejak dua tahun lalu tetapi rahsia itu tidak ingin disebarkan kepada orang lain sehinggalah berita penemuan gas di Kampung Sipol bersebelahan dengan kampungnya diketahui umum. Beliau mendapatkan gas tersebut dengan menebuk alat memerangkap gas yang dibuatnya sendiri dan menyalurkan ke rumahnya menggunakan enam batang paip. Walau bagaimanapun, keadaan gas asli itu kini semakin berkurangan akibat gangguan tanah yang tersumbat pada alat memerangkap gas yang disalurkannya ke dalam tanah tersebut.

Berita tentang penemuan gas itu akhirnya sampai juga kepada pihak dan agensi-agensi kerajaan. Menurutnya, selain kunjungan pihak Kementerian Kesihatan Pasir Mas, agensi kerajaan lain seperti Jabatan Geologi, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Bomba.

"Pernah juga agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Pasir Mas, Jabatan Kajibumi, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Alam Sekitar dan Bomba membuat kunjungan untuk melihat hal ini secara lebih dekat.

"Seingat saya, Jabatan Kajibumi pernah mengambil contoh tanah untuk dibuat kajian, tetapi setakat ini tiada sebarang laporan. Manakala Jabatan Alam Sekitar turut mengesahkan bahawa gas di sini memang banyak. Malah pihak Jabatan Bomba pernah melarang saya supaya tidak menyalakan api atau melakukan aktiviti pembakaran", katanya.

Justeru, agensi-agensi kerajaan berkaitan, Ketua Kampung di samping wakil rakyat yang bertanggungjawab perlu sentiasa membuat pemantauan serta memberikan reaksi dan perhatian yang sewajarnya supaya hasil khazanah bumi yang dianugerahkan Illahi tidak disia-siakan begitu sahaja sebelum rezeki dari bumi ditarik balik yang ternyata boleh merugikan ekonomi negara amnya dan masyarakat sebagai penduduk yang terlibat khasnya. 
 

Che Ghazali Awang Kechik ketika ditemui Penulis di kediamannya.

Che Ghazali sedang mencium bau gas melalui batang paip sebagai perangkap gas yang dipacakkan ke dalam tanah.

Buih-buih putih akan muncul di halaman rumahnya apabila hujan turun.

Gas yang disalurkan melalui batang paip ke dapur rumahnya.

Perigi terawal dibina tidak lagi dapat digunakan kerana airnya berwarna biru dan berbau gas.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 27 Januari 2012

Bantuan Rakyat 1M


MAJLIS PENYAMPAIAN AGIHAN BANTUAN RAKYAT 
1 MALAYSIA (BR1M) KAWASAN PARLIMEN 
KOTA BHARU (FASA 1) - N10  BUNUT PAYONG

KOTA BHARU, KELANTAN:  MAJLIS Penyampaian Agihan Wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Fasa 1 bagi N10 Bunut Payong telah diadakan di Dewan Kota Jelasin, Sek. Men. Kota (SMK Kota) dekat sini pada 26 Januari, 2012. Kebanyakan penerima yang terdiri daripada golongan warga emas sejak dari jam 2.00 petang lagi telah berduyun-duyun mendaftarkan nama sebagai penerima di majlis berkenaan.

Bantuan agihan wang BR1M itu telah disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Y.A.B Perdana Menteri Malaysia, Yang Berbahagia Dato' Hj. Mohamad Fatmi bin Hj. Che Salleh merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Bharu.

Dalam ucapannya, beliau berharap rakyat dan penerima bersyukur apa yang dipeolehi tetapi tidak bersikap kufur dengan mengutuk kerajaan dari belakang. Katanya, kesemua Perdana Menteri Malaysia sebelum ini tidak pernah mengadakan bantuan seumpama itu, sebaliknya di bawah Perdana Menteri yang baru, Y.A.B Dato' Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak bukan sahaja bantuan BR1M, tetapi bantuan lain juga telah disalurkan dan diberikan kepada penerimanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih khususnya kepada pihak Pegawai dan Kakitangan CIMB Bank Berhad yang turut serta dalam pengagihan tersebut.

Salah seorang warga emas yang merupakan penerima BR1M yang sempat ditemui Penulis berkata, beliau amat bersyukur dengan pengagihan wang tersebut sebagai suatu langkah keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan beban perbelanjaan sara hidup golongan sepertinya. Menurutnya, ketika kita memerlukan wang yang segera, tiada pihak yang sanggup membantu tetapi dengan wang yang diterimanya dapatlah sedikit sebanyak mengurangkan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh keluarganya.
 
 
Orang ramai berkumpul dan menunggu pihak urus setia untuk mendaftarkan nama. 

Pendaftaran bermula. Penerima yang memperolehi tanda nama sahaja dibenarkan memasuki dewan.

Ucapan oleh Dato' Hj. Mohamad Fatmi Hj. Che Salleh.

Di antara jumlah penerima dalam dewan terbabit.








Agihan wang diberikan di tempat duduk penerima.

 Inilah sampul BR1M yang memuatkan wang tunai RM500 yang diagihkan kepada penerima yang layak.

Kesemua foto ini dirakam di SMK Kota, Kota Bharu pada 26.1.2012.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 25 Januari 2012

Madu Lebah Asli


MADU LEBAH ASLI

TANAH MERAH, KELANTAN:  HARGA madu lebah asli memanglah mahal berbanding madu lebah tiruan yang telahpun dicampur dengan air gula. Di Kota Bharu, sebotol madu lebah asli dijual di antara RM25 hingga RM30 sebotol. Tetapi di sekitar Kampung Legeh, Ayer Lanas dan Tanah Merah harganya hanya RM17 sebotol. Memang pandangan sesetengah orang menyatakan terlalu mahal, tetapi hakikatnya perlu diketahui bahawa, kerja mencari madu lebah asli bukan perkara mudah sebagaimana yang disangkakan.

Perkara paling sukar untuk mendapatkan madu lebah berkenaan bukan sahaja sewaktu memanjat pokok yang mengandungi sarang lebah itu yang terlalu tinggi. Namun, sesuatu yang dianggap sukar apabila pencari madu lebah berkenaan perlu berhadapan dengan ibu-ibu dan tentera lebah yang begitu banyak. Kalau tiada keyakinan, kesabaran dan semangat yang tinggi untuk mendapatkannya, pencari lebah akan menemui kegagalan malah mungkin boleh membawa maut.

Mengikuti pengalaman seorang pencari madu lebah asli, Che Harun Ahmad dari Kampung Legeh, Ayer Lanas, Tanah Merah, Kelantan di mana Penulis turut serta menjejaki dan melihat dengan lebih dekat pengalamannya mendapatkan madu lebah di sebatang pokok berangan, kira-kira dua kilometer ke dalam bukit dan hutan belukar di Kampung Sungai Satan dekat sini adalah sesuatu yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi sebagai pengalaman berharga bagi Penulis seumur hidup, walaupun menurutnya kerja mencari madu lebah sememangnya sukar.

Sebelum berangkat ke dalam hutan yang juga terpaksa menuruni dan mengharungi beberapa bukit, lopak air dan jalan hutan yang berliku, akhirnya dalam masa satu jam Penulis dan beberapa orang kampung beliau yang ingin turut serta merasai pengalaman mendapatkan madu lebah itu.

Beliau yang turut dibantu rakannya yang berpengalaman sejak berusia 16 tahun, Mohamad Sanusi Mohamad Zaid, 30, kesukaran dalam mendapatkan madu lebah memang terasa jika tiada pengalaman, kurang sabar dan tiada keyakinan dengan kerja yang dilakukan. Sebelum memanjat batang pokok berangan yang disahkan terdapatnya sarang lebah, seorang pencari madu lebah perlu memasang api yang dikenali "obor api" untuk tujuan menghalau gangguan lebah tentera. Ini kerana, lebah sememangnya takut dengan asap, dengan cara sedemikian beliau tidak akan diganggu oleh tentera lebah itu.

Menurut Che Harun, beliau memulakan kerja mencari madu lebah asli sejak empat tahun lalu di sekitar Jeli dan tidak lebih dari itu adalah sebagai kerja sampingan sahaja kerana dalam masa yang sama beliau mengusahakan perniagaan runcit di kampungnya. Namun, tanpa diduga walaupun dianggap kerja sampingan, ia turut memberikan pendapatan yang lumayan walaupun kerjanya terlalu sukar.

"Dari pengalaman saya untuk sekali dalam setahun, setakat ini pendapatan yang diperolehi mencecah sehingga RM3,000. Bahagian dari pendapatan ini sebenarnya dibahagikan kepada rakan-rakan yang ikut serta dalam kerja-kerja seumpama itu.

"Ia juga berpandukan kepada sarang, jika sarang banyak maka pendapatan yang diperolehi akan lebih dari itu", katanya yang begitu gembira dengan bantuan rakan-rakannya.

Katanya, mencari lebah amat sukar kerana setiap sarang boleh ditemui memakan masa selama dua hingga tiga hari. Kadang-kadang seseorang pencari sarang lebah perlu mengikuti ke mana ibu-ibu lebah terbang untuk mengambil madu bunga-bunga dari beberapa pokok di beberapa tempat sebelum dibawa ke sarang.

"Setiap kali kita mengesan adanya sarang, kita perlu melihat ke mana ibu-ibu lebah terbang dari satu pokok kepada satu pokok yang lain bagi mendapatkan bunga-bunga dari pokok itu untuk dibawa ke sarang", katanya apabila ditanya bagaimana beliau boleh mengesan sarang lebah di atas pokok yang terlalu tinggi itu.

Menurutnya lagi, jika sarang bawah, ibu lebah tidak akan meninggalkan sarangnya lebih jauh dan hanya kira-kira di sekitar setengah kilometer sahaja. Berbanding dengan sarang tualang, ibu lebah akan terbang sehingga dua kilometer dari sarang. Ini menjadikan madu yang lebih berkualiti tidak sebagaimana sarang bawah.

Dalam pada itu, masa menunggu untuk medapatkan madu lebah juga perlu diketahui oleh setiap pencari sarang lebah. Berdasarkan kepada pengalaman Che Harun, madu lebah ada dan boleh diperolehi dengan banyak pada bulan Februari setiap tahun apabila bunga-bunga pokok mengembang. Bahkan dari pengalamannya juga, kualiti madu lebah amat berbeza di antara sebatang pokok dengan pokok yang lain.

Apabila seseorang pencari madu lebah telah menemui sarang yang dimaksudkan itu, seseorang pencari madu lebah perlu berpandukan kepada "kepala air" yang terletak di hujung dahan. Maksud kepala air ialah tempat isi madu tersebut. Kandungan madu yang banyak apabila kepala air tersebut menjadi besar yang hakikatnya berbeza dengan saiz sarang lebah itu.

"Kandungan atau isi madu banyak apabila kepala air tersebut membesar berbeza dengan saiz sarangnya. Ia terletak di hujung dahan, manakala di pangkal dahan akan menjadi kecil atau nipis seperti karung", ujarnya.

Misalnya bagi pokok berangan, kebiasaannya hanya sebiji sarang sahaja yang diperolehi. Sebaliknya, jika pohon tualang boleh diperolehi sehingga 30 sarang. Manakala jumlah madu yang boleh diambil dari pokok berangan yang dianggap pokok biasa sekitar 10 kilogram atau 45 botol sahaja bagi setiap sebiji sarang. Manakala bagi pohon tualang, madu boleh dipungut dalam jumlah yang banyak sehingga 20 kilogram atau 18 liter.

Justeru, setakat ini beliau gembira dengan kerjanya itu walaupun dianggap sukar dan boleh membahayakan diri sendiri termasuk rakan-rakan yang turut serta yang menunggu di bawah pokok. Namun, walaupun dikatakan bahaya beliau berpuas hati kerana itulah rezeki yang dianugerahkan oleh Allah kepada beliau sebagai pekerja kampung yang sepatutnya diusahakan oleh setiap orang supaya nasibnya terus berubah dan tidak terus melarat dengan hanya mengharapkan bantuan dan sumbangan orang lain.
 
Che Harun Ahmad ketika ditemubual Penulis setelah selesai memungut madu lebah berhampiran pohon berangan di Kampung Sungai Satan.

Pohon berangan, menjadi tempat sarang lebah.

Sarang lebah dari pandangan bawah (dekat), berwarna gelap.

Walaupun nampak sedikit, madu lebah dalam baldi ini seberat 8 kilogram.

Enaknya madu lebah jika dihirup terus.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 23 Januari 2012

Pameran Khazanah Alam-3


PAMERAN KHAZANAH ALAM-3

KOTA BHARU, KELANTAN:  SENI dan hiburan tidak hanya tertumpu kepada persembahan nyanyian dan aktiviti lakonan semata-mata. Tetapi dengan mengadakan pameran juga mempunyai tujuan yang sama untuk memberikan kepuasan dan memenuhi naluri serta citarasa masyarakat di negara kita yang pelbagai ragam. Pameran yang melibatkan makhluk ghaib dan artifak lama misalnya adalah bertepatan dengan sesetengah citarasa rakyat di negara ini yang ingin mencari kelainan.

Membicarakan tentang pameran yang melibatkan artifak yang tidak pernah dilihat dan berusia beribu juta tahun sememangnya patut diketengahkan. Apatah lagi melibatkan makhluk halus yang menghuni alam ghaib, sedikit sebanyak dapat merungkai dakwaan bahawa ilmu itu tidak terbatas sifatnya.

Bagi menjelaskan pameran sedemikian yang dianggap oleh sesetengah pihak tidak wajar diadakan kerana tidak memberikan sebarang manfaat dalam konteks ilmu, Penulis cuba mencungkil jawapan daripada Penasihat Pameran Khazanah III, Dato' Dr. Haji Abd. Rahim Ab. Rajab yang diadakan di Dewan Majlis Belia Kelantan, Jalan Mahmood, Kota Bharu dekat sini.

Katanya, sebelum melaksanakan sesuatu pameran, beliau telah mengumpul barang-barang artifak sejak 45 tahun lalu dari luar negara dan telah membuat kajian tentangnya. Beliau mula mengadakan pameran seumpama ini sejak tahun 2003. Pameran pertamanya adalah "Pameran Tamadun Islam (OIC)" sempena Perhimpunan Negara-negara Islam (NAM) di Putrajaya pada tahun 2003.

Oleh kerana sambutannya agak menggalakkan dari masyarakat tentang kelainan dari segi persembahan, beliau mengadakan pameran kedua dikenali "Pameran Artifak Sejarah" bertempat di Muzium Shah Alam, Selangor pada tahun 2004. Manakala pameran ketiganya ialah "Pameran Khazanah Nusantara" yang diadakan di Tapak Ekspo Pulau Pinang akhir tahun 2004.

Pameran keempat pula dikenali "Pameran Jin, Hantu dan Syaitan" kembali diadakan di Muzium Shah Alam, Selangor pada bulan Jun dan Julai 2006. Pameran kelima pada bulan Disember 2006 bertempat di Pulau Pinang dan pameran keenam diadakan di Pusat Membeli-belah KB Mall, Kota Bharu pada bulan Januari hingga Mac 2007.

Pameran ketujuh pula diadakan pada bulan Mac 2007 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu. Manakala pameran kelapan dikenali "Pameran Khazanah Alam III" bermula akhir Mac lalu sehingga April bertempat di Dewan Majlis Belia Kelantan, Kota Bharu. Manakala pameran sempena menyambut Tuanku Sultan Brunei di Negara Brunei Darussalam turut diadakan setiap tahun dan setakat ini beliau telah mengadakan pameran selama empat tahun berturut-turut.

Sejumlah 200 barangan artifak termasuk monumen makhluk ghaib turut dipamerkan untuk kesedaran pengunjung. Pameran yang diketengahkan ini meliputi tiga alam umpamanya daratan, lautan dan udara. Kebanyakan barangan yang dipamerkan melebihi usia 100 tahun ke atas.

Misalnya dinding yang diletakkan pada pintu masuk dewan pameran merupakan kayu kalimah Allah berusia melebihi 100 tahun yang pernah dimiliki oleh keturunan Wali Songo (Wali Sembilan), ikan duyung dan batu laut termasuk binatang-binatang yang telah menjadi batu mencapai usia sehingga jutaan tahun.

Penulis turut dibawa ke ruang legar Pameran Al-Quran. Memasuki dewan ini umpama ditiup angin sepoi-sepoi bahasa kerana kenyamanannya terserlah. Di sudut akhir pameran ini, Penulis tertarik kepada sebuah Al-Quran terbesar (mungkin terbesar di dunia) yang diperolehi dari Pesantren di Demak, berhampiran Masjid Demak milik Wali Songo melalui ahli keluarga mereka di mana usianya mencecah 200 tahun.

"Tujuan pameran ini diadakan bukanlah difokuskan kepada pendapatan tetapi hanya sebagai hobi dan seni hiburan. Ini kerana, apabila dilihat kepada beberapa pameran yang dianjurkan oleh negara-negara Barat, mereka bertujuan untuk mengaut keuntungan", katanya.

Tambah beliau, apabila memperkatakan tentang sesuatu pameran, hakikat kita sebenarnya memang terbelakang. Walau bagaimanapun, kita sekarang sudah sedar bahawa negara-negara asing selalu mencari peluang di atas kelemahan kita dan kelemahan itu adalah kekurangan kita.

"Kita sebagai rakyat Malaysia patut mencari sendiri di mana kekurangan kita supaya negara luar tidak boleh mencelah peluang-peluang yang ada di Malaysia.

"Mereka datang ke sini mengadakan ekspo, pameran dan persembahan sarkas misalnya bukannya mendatangkan hasil yang besar kepada kita, sebaliknya negara-negara berkenaan membawa pulang keuntungan ke negara mereka. Jadi, kita boleh melakukan apa yang telah dilaksanakan sekarang seperti ekspo dan pameran. Malah kita juga boleh mengadakannya di negara luar pula", katanya.

Dalam pada itu, Dato' Dr. Abd. Rahim turut menegaskan bahawa pameran seumpama ini sebenarnya sebagai panduan hidup kepada masyarakat yang mana mereka sebenarnya terlupa bahawa barang-barang yang tua dan lama ini samalah dengan orang-orang yang tua. Samalah juga dengan bahan-bahan dan artifak yang dipamerkan sekarang yang dianggap tidak bernyawa.

"Matlamat diadakan pameran ini boleh dijadikan iktibar supaya dilakukan kajian bahawa tanpa adanya yang lama tidak akan wujud yang baru. Maknanya, jika tiada orang tua, maka tidak ada yang muda termasuklah kita semua", tambahnya mengingatkan kepada generasi muda hari ini.

Sesuai dengan pameran tersebut yang dibina di satu kawasan khas sebuah tanah perkuburan untuk memberikan gambaran sebenar tentang kehidupan manusia akan sampai ke penghujungnya setelah merasai kehidupan iaitu kematian.

"Akhirat adalah Al-Quran dan Hadis. Dunia adalah ibu bapa kita. Kita sering lupa kepada mereka bahawa selain mereka, kita juga akan sampai ke penghujungnya. Jadi, dengan adanya gambaran perkuburan ini untuk menunjukkan kepada manusia pada suatu masa nanti akan ke situ juga. Setiap yang hidup, pasti akan merasai kematian", ujarnya untuk menggambarkan perkuburan dalam pameran berkenaan sebagai peringatan kepada setiap pengunjung.

Justeru, amat jelas bahawa pameran ini walaupun disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai streotaip, namun ia juga berkonsepkan ilmu pengetahuan yang terpinggir. Manusia dianugerahkan akal dan fikiran oleh Illahi supaya berfikir tentang sesuatu kejadian yang diciptanya sama ada yang kelihatan jelas pada pandangan mata manusia dan sebaliknya. Maka adalah wajar pameran seumpama ini tidak dianggap sesuatu yang tidak masuk akal dan naluri kita sedangkan orang lain adalah sebaliknya.      
 


Penasihat Pameran Khazanah Alam III, Dato' Dr. Haji Abd. Rahim Abd. Razak ketika ditemubual Penulis di dewan pameran.

Toyol

Jenglot.

Kerangka anak jin dari Jordan.

Ikan Shidat semasa tsunami di Aceh pada bulan Disember 2004.

Ikan duyung.

Kerangka anak dinosaur berusia kira-kira 500 tahun.

Beberapa jenis buah di dasar lautan yang telah menjadi batu.

Musang berkepala dua.

Mengkarung hidup ekor bercabang.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 22 Januari 2012

Pameran Keris Melayu


PAMERAN KERIS MELAYU

KOTA BHARU, KELANTAN:  SENJATA Melayu lama khususnya keris-keris Melayu adalah warisan yang masih wujud sehingga hari ini walaupun golongan muda tidak lagi mengenali perihal sejarah, latar belakang malah hubung kaitnya dengan orang-orang Melayu. Jika warisan ini tidak dijaga dan diberikan perhatian oleh orang-orang Melayu sendiri, sudah tentu keunikan dan kehebatan beberapa jenis senjata sebagaimana yang dinobatkan dan begitu tersohor di zaman lampau akan berkubur juga.

Di Kelantan pada suatu ketika, keris-keris Melayu ini seperti ditenggelamkan zaman dan sejarah kerana tidak ada pihak yang memartabatkan keagungannya tetapi mujurlah selepas itu tampil pula pihak yang beranggapan bahawa warisan senjata-senjata berkenaan ada kaitannya dengan bangsa Melayu itu sendiri dan adalah wajar kepentingannya diperlihatkan kepada generasi seterusnya.

Peranan yang dimainkan oleh Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan dengan menganjurkan beberapa sesi pameran dan pertandingan sedikit sebanyak dapat mengetengahkan keunikan senjata-senjata berkenaan untuk tatapan generasi hari ini patut diberikan pujian. Secara langsung atau tidak, dengan adanya pameran dan pertandingan seumpama itu dapat mengembalikan nolstagia kehebatan senjata ampuh di zaman dulu.

Bersempena dengan Pameran dan Pertandingan Seni Purba Keris Melayu yang diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohd. IV, Penulis berkesempatan menemui Pengerusi Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan, Alwi Hj. Yusoff bagi mendapatkan gambaran jelas peranan di sebalik penubuhan persatuan tersebut.

"Tujuan diadakan pameran dan pertandingan ini adalah untuk mengetengahkan seni senjata warisan Melayu kepada generasi baru. Kerana kita melihat bahawa senjata Melayu semakin lama semakin pupus dan tidak terjaga.

"Jadi, dengan penubuhan persatuan ini semenjak tahun 1986 dari situlah mula diadakan beberapa aktiviti seperti karnival jualan, menganjurkan pertandingan senjata warisan Melayu, kemudian kita mengadakan bengkel mengenal senjata oleh generasi muda. Inilah beberapa tujuan penubuhan persatuan", ujarnya yang juga seorang Pengurus Eksekutif Warisan Darul Naim, Perunding Senjata Melayu dan Projek Buku Senjata Warisan Melayu.

Katanya, senjata Melayu lama ini berusia 50 tahun ke atas malah ada sebilah keris berusia 200 tahun. Keris ini pula merangkumi pelbagai kategori iaitu keris biasa, bangsawan, raja dan sebagainya.

"Kebanyakan senjata yang dipamerkan dan dipertandingkan adalah milik ahli-ahli persatuan ini sendiri, malah ada juga antaranya yang turut dijual", ujarnya.

Menurut Alwi, kebiasaan dalam sesuatu pertandingan keris Melayu, sekurang-kurangnya tujuh kategori yang dipertandingkan seperti Keris Pandai Sarah dan Keris Alang yang berasal dari Kelantan dan Pattani berusia mencecah 100 tahun, keris Bugis dan keris terbuka Indonesia untuk meluaskan lagi skop. Misalnya dalam kategori Keris Pandai Sarah menurutnya dipecahkan kepada dua peringkat iaitu posisi utama dan posisi tempatan.

"Persatuan ini juga mengutamakan penyimpan baru untuk mengenal senjata baru dan senjata lama seperti cara untuk menjaganya dan sebagainya. Inilah di antara beberapa aktiviti persatuan ini", ujarnya sambil meninjau kelancaran aktiviti berkenaan.

Sementara itu, menurut Ahli Jawatankuasa Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan, Tengku Ramli Tengku Sulaiman, 60, atau lebih mesra dipanggil Pak Ku adalah seorang pandai keris menyatakan, kebanyakan keris Melayu antik berkenaan berusia puluhan tahun sehingga mencecah 200 tahun. Misalnya Keris Banja Bulu Ayam yang berasal dari Pattani berusia 200 tahun, Keris Kundang Jawa pula berusia lebih 100 tahun. Terdapat juga sejenis senjata dikenali "Tongkat 99 Nama Allah" yang merupakan senjata ampuh dari Arab Saudi di mana senjata ini dibuat dari Kayu Kokka, sejenis kayu bahtera Nabi Nuh a.s.

"Ada juga beberapa jenis kain seperti kain cindai dan kain cempaka yang digunakan oleh panglima dan pendekar-pendekar zaman dahulu. Kain ini dikatakan puaka kerana semasa mereka pergi berperang, kain inilah digunakan sebagai selendang untuk melindungi si pemakainya.

"Kain selendang ini didakwa dapat melindungi dari terkena peluru malah jika terkena pun si pemakainya tidak mengalami sebarang kecederaan. Harganya sekarang melebihi RM1,000", ujar Pak Ku yang juga seorang peniaga keris-keris antik di Kota Bharu.

Pak Ku juga turut menunjukkan kepada Penulis sebuah seterika antik dikenali "Ayam Jantan" di mana seterika ini dikatakan boleh tarik duit. Menurutnya, seterika tersebut pada 20 tahun lalu berharga RM10,000. Terdapat dua jenis seterika seperti ini yang mempunyai lima lubang dan sembilan lubang. Semakin banyak lubang, semakin tinggilah harganya.

Selepas itu, Pak Ku turut memperlihatkan sebuah patung berbentuk binatang dibuat dari batu yang berasal dari Negara China sejak tahun 1795 dikenali "Singa Pengapi Datang Pengawal Raja" yang diperolehinya daripada Kapten Lau Teh di Kuala Terengganu berusia lebih 200 tahun.

Sambil menambah kata-kata pengerusinya, Pak Ku menyatakan peranan Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan ini juga adalah untuk memberikan kerjasama dengan pihak Muzium Negeri Kelantan di samping turut memperkenalkan barangan purba kepada generasi baru supaya generasi baru mengenali barangan antik itu juga ada manfaatnya.

Tambah Pak Ku, lebih kurang 200 peserta dari seluruh negara menyertai pameran dan pertandingan keris Melayu antik kali ini yang diadakan tidak kurang dua kali dalam setahun. Pihak persatuan ini menurutnya tidak berhasrat untuk menjelajah negara, namun akan memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak seperti jabatan-jabatan kerajaan dan swasta dalam menganjurkan apa jua pameran yang diperlukan.

Malahan mulai saat ini beliau bertekad akan mengambil daya usaha untuk mengumpul segala maklumat berhubung permainan tradisional Kelantan pula seperti congkak, kertuk, gasing dan sebagainya dalam sebuah buku untuk tatapan dan kajian umum.      


Pengerusi Persatuan Senipurba dan Kraftangan Kelantan, Alwi Hj. Yusoff.

Tengku Ramli Tengku Sulaiman atau Pak Ku, seorang pandai keris.

 Tengku Ramli sedang menunjukkan seterika dikenali "Ayam Jantan" berusia 20 tahun.

Patung dikenali "Singa Pengawal Raja" dari Negara China sejak tahun 1795.

Senjata antik dari luar negara.

Inilah "Keris Bugis Lurus".

Pelbagai jenis keris Melayu dari Kelantan, Thailand dan Indonesia.


Para pengadil sedang sibuk membuat penelitian untuk memilih keris menarik dan terbaik dalam kategori yang dipertandingkan.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Pondok Talak Lesu


PONDOK TALAK LESU

TUMPAT, KELANTAN:  PONDOK TALAK yang terletak di Kampung Talak dekat sini memang tersohor sejak diasaskan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Isa Wahab pada tahun 1987. Walaupun pelajar yang datang untuk menimba ilmu di sana dalam jumlah yang agak kecil sekitar 50 orang sahaja, namun pada masa itu, kebanyakan pelajar amat berpuas hati kerana mendapat didikan yang secukupnya. Selain mereka tidak dikenakan sebarang bayaran yuran, memadai hanya menjelaskan bayaran keperluan bekalan air dan elektrik dalam kadar RM5 sahaja.

Tetapi hari ini, Pondok Talak tidak lagi segemilang di zaman penubuhannya dahulu kerana bukan sahaja tidak dikunjungi pelajar, namun pondok berkenaan juga dianggap terbiar dan tidak terbela. Kalau sebelum ini Persatuan Pondok datang memberikan kuliah mengikut jadual yang ditetapkan, tetapi semenjak ketiadaan pelajar, bukan sahaja pendok berkenaan semakin uzur dan kosong Persatuan Pondok tidak lagi datang menjenguk selain kerajaan negeri juga tidak pernah nampak batang hidung dalam usaha mengubahsuai bangunan pondok supaya kelihatan menarik dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangannya seperti mana di zaman itu.

Pengetua Pondok Talak yang baru, Ustaz Haji Khalid Awang, 66, ketika ditemui Penulis meluahkan kesedihannya melihat fenomena berkenaan. Pondok Talak yang terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kota Bharu, 13 kilometer dari Wakaf Baharu dan 10 kilometer dari bandar Tumpat itu mengalami situasi perubahan yang agak sedih berikutan wujudnya rasa tidak puas hati di kalangan pelajar sendiri.

Menurut Ustaz Haji Khalid, sebelum pondok tersebut ditubuhkan, berdasarkan apa yang diketahuinya, arwah Tuan Guru Haji Isa di zaman kanak-kanaknya sudah jelas sebagai seorang yang mempunyai tokoh dalam bidang agama dalam usaha untuk menyebarkan agama Islam yang suci itu. Pada usia remaja, beliau bertekad untuk mengembara sambil menuntut ilmu terutamanya di negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Mesir, Syria, Palestin, Afghanistan termasuk juga Israel.

Sekembalinya beliau ke tanah air setelah dapat apa yang dipendamkannya itu tercapai, beliau kemudiannya menubuhkan pondok tersebut termasuk surau dan asrama pelajar. Dalam masa arwah masih berkhidmat dan sentiasa memberikan perhatian terhadap pondok yang ditubuhkannya itu, aktiviti pengajian pada masa itu begitu tersohor ke beberapa daerah lain di negeri Kelantan termasuk juga dikenali di negara jiran.

Namun menurutnya, apabila peruntukan masa arwah dengan pelajar-pelajar mula renggang dan seperti tersisih, ketika itulah kegemilangan pondok mula pudar. Kepercayaan pelajar terhadap pondok dan tuan guru mula hilang apabila pelajar-pelajar mula meninggalkan pondok seorang demi seorang. Tamparan hebat juga turut dirasakan apabila tuan guru menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika usia 46 tahun menyebabkan urusan pondok terbantut dan tidak bertenaga kerana Pondok Talak telah kehilangan nadi penggeraknya. Walaupun mendapat khidmat Persatuan Pondok selama tiga bulan, namun khidmat yang dicurahkan itu memang tidak disenangi oleh pelajar-pelajar terbabit.

"Memang sedia maklum, kebanyakan pelajar tidak berpuas hati terhadap tuan guru kerana gagal bersama-sama pelajar pada masa yang ditetapkan. Bahkan ada di antara mereka mendakwa mendapat pendidikan ala kadar sahaja. Saat itulah, pelajar seperti merajuk lalu meninggalkan pondok ini seorang demi seorang:", ujar Ustaz Haji Khalid yang berasal dari Bukit Bakong Cina, Narathiwat, Thailand.

Tambah Ustaz Haji Khalid lagi, kebanyakan pelajar pondok berkenaan adalah warga tempatan, selain terdapat pelajar-pelajar dari Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan diikuti dari Thailand seramai enam orang pelajar. Di antara bidang pendidikan yang diterapkan kepada pelajar-pelajar waktu itu meliputi Usuluddin, Fekah, Tauhid dan Tasauf.

Disebabkan pondok tersebut diasaskan oleh Tuan Guru Haji Isa, maka beliaulah yang bertindak menjadi guru kerana tiada guru berpengalaman sebagaimana beliau pada masa itu. Selain bertindak menjadi guru di pondok itu, beliau juga berkewajipan untuk mencurahkan khidmat bakti kepada beberapa buah masjid dan surau di tempat lain. Atas sebab itulah, menyebabkan pondok tersebut sering terpinggir kerana beliau tidak mempunyai kesempatan masa untuk bersama-sama pelajar di samping memberikan tumpuan terhadap perjalanan pondok.

Suatu jasa semasa hayat Tuan Guru Haji Isa selain menyediakan makan dan minuman yang sepatutnya kepada pelajar-pelajar, beliau tidak mengenakan sebarang bayaran pengajian. Walaupun dianggap tiada sebarang sumbangan dari pihak lain, namun aktiviti pondok tetap berjaya diteruskan. Keadaan ini amat jelas dengan sikap keterbukaan Tuan Guru Haji Isa untuk berbakti dan mencurahkan ilmu malah membantu pelajar-pelajarnya itu menurut kudratnya semata-mata tanpa mengharapkan wang  ringgit sebagai upah.

"Saya memang berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan Pondok Talak seperti dahulu. Namun masalahnya kesukaran mendapatkan guru-guru yang berpengetahuan agama selain tempat tinggal guru-guru berkenaan perlu difikirkan juga. Guru-guru perlulah ditempatkan di kediaman yang lebih selesa sesuai dengan taraf mereka", sambung Ustaz Khalid lagi.

Sambung Ustaz Khalid, beliau kini sedang giat mengumpul dana di samping mencari sumber pendapatan lain untuk tujuan membangunkan kembali Pondok Talak agar dapat beroperasi semula sebagaimana di awal penubuhannya dahulu. Dalam hal ini, beliau berharap supaya ada pihak-pihak yang ringan tangan untuk menyumbangkan dana di samping dapat menyumbangkan idea terbaik bagi mendapatkan khidmat guru sebagai tenaga pengajar yang berkebolehan dalam segala bidang.

Harapan itu disuarakannya kepada Penulis supaya sama-sama berganding bahu membangunkan Pondok Talak supaya dapat bergerak seiring dengan pondok-pondok lain di negeri ini apatah lagi di seluruh Semenanjung.
Inilah wajah Pengasas Pondok Talak, arwah Tuan Guru Haji Isa Wahab yang meninggal dunia ketika berusia 46 tahun.

Pengetua Pondok Talak yang baru, Ustaz Haji Khalid Awang.

Papan tanda arah ke Pondok Talak masih kekal sehingga kini walaupun pondok berkenaan tidak lagi beroperasi.


Inilah Pondok Talak, berkeadaan terbiar dan tidak beroperasi kerana ketiadaan pelajar.

Rumah arwah Tuan Guru Haji Isa Wahab. Di belakang rumah ini adalah pondok dan surau.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH