RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipasak.blogspot.com

Khamis, 11 Oktober 2012

Khasiat Tumbuhan Herba


KHASIAT TUMBUHAN HERBA

NEGARA kita memang kaya dengan kesuburan tanah-tanihnya sehinggakan darinya tumbuh pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan menghijau yang beraneka jenis untuk kegunaan dan keperluan manusia sendiri. Di antara pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan itu, sesuatu yang berharga darinya ialah tumbuh-tumbuhan bernilai perubatan yang dikenali sebagai "tumbuh-tumbuhan herba".

Tumbuh-tumbuhan herba ini pula banyak digunakan oleh nenek moyang kita di masa lampau. Ia tidak terbatas untuk digunakan sebagai bahan perisa asli dalam masakan, tetapi hakikatnya tumbuh-tumbuhan herba mempunyai keistimewaan malah menampung banyak khasiat yang tersendiri di samping mempunyai nilai perubatan untuk kesihatan tubuh badan manusia yang amat ketara.

Ia dikatakan berperanan untuk merawat dan meredakan pelbagai jenis penyakit sebagai asas penjagaan kesihatan walaupun dalam banyak hal masyarakat hari ini kurang menyedari tentang peranannya. Dua contoh tumbuh-tumbuhan herba tersebut ialah "Halia" dan "Kesom".

Halia

Orang-orang Melayu mempercayai bahawa Halia atau nama saintifiknya "Zingiber officinale" adalah tergolong dalam kategori ubat-ubatan tradisional Melayu yang sememangnya menampung banyak khasiat tersendiri serta dapat membantu dalam menyembuh dan meredakan penyakit-penyakit berikut:

1. Membantu untuk menghadam makanan.
2. Melembutkan perut dengan kelembutan yang sederhana.
3. Mengawal hati supaya tidak sejuk dan basah.
4. Membantu menguatkan tenaga batin dan menambahkan air mani.
5. Membuang angin yang terdapat dalam usus kecil dan usus besar.
6. Membuang kahak dan lendir yang melekat di bahagian halkum.
7. Menghilangkan bau busuk mulut.
8. Menghilangkan kadar kesejukan yang terdapat pada makanan, buah-buahan atau sayur-sayuran apabila sudah dimakan atau diminum.
(Sumber: Buku Ubat-ubatan Tradisional Melayu, Ustaz Azahari Ibrahim, Kelantan)

Selain dari itu, halia juga dipercayai dapat menyelesaikan masalah pening kepala, mabuk, demam panas serta mencegah kelahiran.

Halia amat kaya dengan kandungan Kalium (125 mg), Fosforus (63 mg), Kalsium (17 mg) dan Tenaga (52 kcal).

Kesom

Sejenis rumpai herba yang sering digunakan sebagai perencah dan perisa dalam masakan orang-orang Melayu ialah "Kesom". Kesom atau nama saintifiknya "Polyonum minus" mempunyai keistimewaan tertentu terhadap kesihatan iaitu dapat membantu menyembuhkan mata kabur dan mencegah kesejukan atau supaya badan menjadi panas.

Dalam konteks khasiat pemakanan, kesom kaya dengan Beta Karoten (7433 mcg), Vitamin A (1239 mcg) serta Vitamin C (125.0 mg). Manakala bahan galiannya terdiri dari Kalium (308 mg), Kalsium (232 mg) di samping Fosforus dan Natrium (19 mg). Nilai tenaga dalam kesom amat tinggi iaitu 91 kcal dan hal ini amat sesuai dengan fungsinya terhadap kesihatan.

Berdasarkan kepada hakikat itulah, untuk memperolehi tubuh yang sentiasa sihat dan segar malahan kesihatan sentiasa terjamin dan bebas dari permasalahan penyakit, adalah lebih baik kita memakan makanan-makanan berkhasiat, asli dan segar sahaja.

Justeru itu, kandungan khasiat pemakanan di dalam tumbuh-tumbuhan herba umpamanya halia dan kesom adalah disarankan untuk kesihatan kerana juzuk pemakanan berkenaan tidak memerlukan resipi dan boleh dinikmati secara segar malah tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak sama ada dalam konteks rawatan atau ubat-ubatan moden. Malah kita juga jangan lupa, tumbuh-tumbuhan berkenaan mengandungi beberapa bahan yang boleh memusnahkan kuman dan bakteria di dalam badan yang kita sendiri tidak pernah menyedari tentang hubungannya dengan rawatan dan kesihatan.

Halia.

Kesom.

Nilai pemakanan dalam Halia dan Kesom.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan