RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipasak.blogspot.com

Sabtu, 1 September 2012

Strok: Rawat Cara Urut


STROK: RAWAT CARA URUT

PASIR MAS, KELANTAN:  STROK adalah satu istilah penyakit zaman moden yang berpunca dari masalah saraf dalam tubuh manusia. Tetapi penyakit ini berasal dari zaman Nabi Sulaiman a.s  yang berpunca dari gangguan sejenis makhluk jin yang mengalir dalam darah manusia yang digelarkan sebagai "angin merah". Walaupun dalam perubatan moden memanggilnya "penyakit strok", tetapi dalam istilah perubatan tradisional ia dipanggil "angin ahmar". Mangsa yang menderita penyakit ini menyebabkannya tidak boleh berjalan, gagal untuk menggerakkan tangan, muka atau wajah herot sebelah dan badan menjadi lumpuh. Ia dikatakan berpunca dari beberapa sebab seperti masalah penyakit kencing manis dan darah tinggi. Tetapi melalui kaedah rawatan tradisional, jika beberapa bahagian anggota berasa kebas dan lenguh adalah sebagai tanda-tanda awal penyakit tersebut dan hal berkenaan perlulah dirawat atau diurut dengan kadar yang segera.

Walaupun rawatan moden yang menggunakan teknologi canggih dikatakan mampu merawat penyakit strok, tetapi dalam banyak keadaan didapati gagal untuk menyembuhkan penyakit berkenaan. Apatah lagi, apabila sejarah pesakit terbabit dianggap telah lama menghidap penyakit berkenaan, ini tentunya mendatangkan banyak masalah untuk dirawat.

Sebab itulah, jika penyakit yang melibatkan urat saraf, kebanyakan pesakit menggemari rawatan yang dilakukan secara tradisional. Rawatan tradisional ini pada hakikatnya tidak diyakini oleh segelintir masyarakat kerana menganggapnya tidak masuk akal, sedangkan rawatan seumpamanya telah diamalkan sejak lebih 1,400 tahun lalu lagi. Manakala rawatan moden hanya mula dipraktikkan dalam masa 600 tahun kebelakangan ini.

Merujuk tentang rawatan tradisional khususnya yang melibatkan urutan urat saraf seperti penyakit strok ini, di Kelantan sendiri terdapat beberapa pakar urut penyakit strok yang mahir dalam bidang mereka. Salah seorang pakar urut penyakit strok yang sempat ditemui Penulis, Zamri bin Zakaria, 51, atau lebih dikenali sebagai Pak Yie dari Kampung Tanjung Rendang, Lemal, Pasir Mas, Kelantan.

Menurut Zamri, beliau menjadi tukang urut strok sejak 20 tahun lalu iaitu ketika berusia 20 tahun. Beliau mendapat ilmu mengurut ini dari keturunannya sendiri iaitu dari moyangnya sejak turun-temurun yang beliau gelarkan sebagai Mak Teh Timah, di mana moyangnya itu bukan sahaja pakar urut yang disegangi di kampungnya tetapi amat mahir dalam memandikan mayat dan berbidan. Apabila disebut sahaja nama Mak Teh Timah, para penduduk di kampungnya itu akan sedia maklum tentang kemahiran moyangnya itu.

Katanya, asalnya beliau berminat sebagai tukang urut sejak zaman remajanya di mana ketika itu beliau belum lagi mendirikan rumahtangga. Suatu hari, ketika beliau tertidur kerana agak terlalu penat bekerja sebagai pekerja kampung. Dalam tidurnya itu, beliau bermimpi seolah-olah beliau mengajar satu ilmu itu kepada dirinya sendiri tentang kaedah dan teknik mengurut sebagaimana yang diamalkannya sehingga hari ini.

"Situasi ini memang sudah hendak dipercayai. Bagaimana saya boleh mengajarkan diri sendiri tentang satu ilmu yang sukar digambarkan. Teknik yang saya perolehi itu saya gunakannya sehingga hari ini dalam usaha mengurut pesakit", jelasnya.

Ditanya tentang bagaimana cara dan kaedah beliau mengurut, beliau terlalu sukar untuk menjelaskannya. Tetapi melalui ilmu yang diperolehinya itu beliau dapat merasai sesuatu anggota dan saraf yang bermasalah melalui deria rasa tangannya. Ini bermakna, apabila tapak tangannya dapat menyentuh kulit pesakit, ketika itulah beliau dapat mengetahui apakah masalah yang dihadapi oleh pesakit terbabit dan urat serta saraf yang mana yang telah mengalami kerosakan.

Sebagai contohnya, jika sesuatu urat saraf pesakit itu bermasalah dan sakit beliau akan dapat mengesan di mana puncanya melalui sentuhan "tangan ajaibnya". Dalam pada itu, kaedah urutan yang diamalkannya tidak menggunakan wirid atau doa tetapi melalui sentuhan deria rasa tangannya. Beliau akan dapat mengetahui urat saraf itu tidak betul atau urat saraf berkenaan tidak berfungsi, beliau akan berusaha mencari jalan untuk memulihkannya supaya saraf itu kembali berfungsi walaupun hakikat sebenarnya saraf terbabit didapati telah mati.

Misalnya bagi pesakit strok yang berusia lebih 50 tahun didapati tangannya tidak dapat digerakkan. Beliau menjelaskan, hal ini disebabkan urat saraf manusia yang terletak di bahagian belakang badan didapati bermasalah. Dalam hal yang demikian, perlulah urat saraf di bahagian tersebut diurut dan dipulihkan supaya masalah tangan kanan misalnya yang tidak dapat digerakkan itu berjaya dipulihkan. Kaedah mengurutnya ialah bermula di bahagian bawah badan seperti di bahagian tapak kaki sehingga bahagian badan dan baik ke atas.

"Ini bermakna, segala masalah yang melibatkan urat saraf di seluruh tubuh perlulah dipulihkan di bahagian bawah badan iaitu di bahagian tapak kaki kerana di situlah "panel kawalan" dalam tubuh manusia", ujar Zamri.

Menurutnya, serangan penyakit strok berlaku meliputi pelbagai sebab utama seperti darah tinggi, pengawalan makanan yang tidak diberikan perhatian, makanan yang mengandungi kolestrol, apatah lagi badan penat (menggunakan khidmat urat saraf) tetapi tidak pernah diurut juga akan mendatangkan masalah. Contohnya, apabila kita berasa lenguh lalu kita tidak mempedulikannya, lama-kelamaan penyakit lenguh itu akan mendatangkan masalah kepada saraf. Saraf yang dirasakan lenguh itu adalah serangan yang dialami oleh urat saraf, dengan demikian perlulah diservis atau dipulihkan. Apabila satu bahagian saraf bermasalah, tentunya akan dialami oleh bahagian saraf yang lain pula.

Katanya, apabila kita berasa kebas sama ada dialami oleh tangan, kaki dan sebagainya adalah tanda-tanda awal akan diserang strok tersebut. Ia disebabkan perjalanan darah tidak seimbang yang meliputi beberapa hal seperti masalah urat saraf itu sendiri. Hal seumpama ini perlu diberikan perhatian sebelum ia menjadi lebih parah. Misalnya bagi sesetengah masalah, jika duduk bersila agak terlalu lama dan apabila bangun dari duduk itu pastinya akan berasa kebas di mana-mana bahagian. Itu sebagai tanda awal akan mengalami masalah strok, wajarlah ia diurut supaya masalah berkenaan pulih sepenuhnya.

Setakat ini menurutnya, pesakit strok yang pernah dirawatnya melebihi 2,000 orang dan usia pesakit berkenaan tidak menentu. Kadang-kadang terdapat pesakit strok berusia 80 tahun, 50 tahun, 12 tahun, 9 tahun dan 7 tahun (bahagian muka) seperti mata tidak berkelip dan muka serta wajah herot sebelah.

Menurut Zamri, ramai pesakit strok yang pernah menerima rawatan dan urutan darinya bukan sahaja dari Kelantan tetapi juga dari luar negara seperti dari Jeddah, Taiwan dan sebagainya. Kebanyakan yang datang sama ada dua atau tiga pesakit akan menemuinya untuk mendapatkan rawatan darinya.

Manakala kebanyakan pesakit strok dari luar Kelantan seperti dari Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan banyak lagi. Kebanyakan pesakit berkenaan akan menyewa di beberapa hotel di Kelantan lalu setiap pagi mereka akan datang ke rumahnya untuk mendapatkan rawatan tersebut. Mereka berkunjung ke rumahnya dengan kenderaan sendiri dan kereta sewa yang menunjuk arah ke rumahnya.

"Kadang-kadang, jika didapati pesakit terbabit tidak dapat datang ke Kelantan kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, saya sendiri akan ke rumah pesakit. Misalnya pengalaman saya ke rumah pesakit terbabit di Kuala Lumpur. Saya pernah merawat penyakit strok yang dalam kategori "agak berat" di sana", katanya.

Sambungnya, bukan sahaja penduduk setempat yang sering menerima rawatan berhubung dengan masalah strok yang tidak pernah menerima rawatan di hospital. Namun, paling ramai juga pesakit dari hospital yang datang menerima rawatan darinya. Setakat ini menurutnya, lebih dari 500 pesakit strok yang keluar hospital datang menerima rawatan darinya. Ini termasuklah beberapa pesakit yang terdiri daripada seorang Pembantu Perubatan (H.A) dari sebuah hospital di Pasir Mas, Kelantan sendiri. Hasil urutan yang dijalankannya, pembantu perubatan tersebut akhirnya dapat meneruskan tugasnya seperti biasa kerana telah sembuh sepenuhnya, sedangkan pada awalnya terpaksa diusung.

Berhubung dengan bayaran khidmat setiap kali selepas rawatan dijalankan, beliau tidak meletakkan harga yang wajar dibayar oleh pesakit. Katanya, bagi golongan berada akan membayarnya agak lebih. Hal ini telah dimaklumkan oleh arwah bapanya bahawa, walaupun pesakit tersebut tidak mempunyai sumber kewangan, beliau wajar mengurut pesakit tersebut.

Di akhir bicara, untuk mengelakkan masalah urat dan saraf menjadi rosak apatah lagi sebelum diserang penyakit strok, beliau menasihatkan kepada setiap pesakit bahawa, jika mangsa telah mengetahui menghidap penyakit darah tinggi, beliau berharap pesakit terbabit tidak menjamah hidangan malam.

Ini kerana menurutnya, lazimnya kebanyakan di kalangan orang-orang Melayu bukan sahaja gemar menjamah hidangan malam dengan berselera, tetapi mengambil makanan dalam jumlah yang banyak pula. Hal ini bukan sahaja akan mudah menghidap darah tinggi, penyakit kencing manis juga memang menjadi penyebab serangan penyakit strok jika hal ini terus dijadikan sebagai suatu budaya atau amalan.

Sementara itu menurutnya, tentang pengambilan daging yang berlebihan dalam hidangan menurutnya berdasarkan kepada kualiti darah masing-masing. Misalnya jika kita mengalami masalah sakit dan pening kepala, jadi adalah lebih baik pengambilan daging dikurangkan.

Justeru katanya, apabila berasa tubuh tidak begitu selesa, bahagian leher dan tengkuk berasa berat dan kepala berasa pening, adalah lebih baik menerima rawatan doktor terlebih dahulu untuk mengetahui tahap kesihatan terbabit. Jika pihak doktor memaklumkan tentang kolestrol dalam darah agak berlebihan, bolehlah beliau memulakan urutan untuk memulihkan urat dan saraf terbabit.

Zamri bin Zakaria atau Pak Yie boleh dihubungi di talian:
012-9679576 

Zamri bin Zakaria atau Pak Yie.

Pak Yie ketika ditemubual Penulis di sebuah warung kopi.

Salah seorang pesakit strok sekadar baring sahaja.

 Pesakit strok telah dirawat melalui kaedah urut oleh Pak Yie.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum semua...kepada sesiapa yang menghidapi penyakit angin ahmar boleh hubungi saya.insyAllah saya bleh membantu bg memulihkan penyakit tersebut.dh ramai testimoni yg saya buat terhadap penghidap strok sumuanya sgt berpuas hati dgn kesan serta perubahan dlm masa 40minit sj.semuanya dgn izin Allah.saya hanya ingin membantu (012-5579732)

    BalasPadam
  2. 4 hari lepas ibu saya telah mendepat stroke dibahagian kanan kaki dan tangan. Beliau tidak jatuh. Walaupun bahagian tersebut tidak dapat digerakkan tapi bahagian tersebut masih terdapat fungsi rasa. Umur ibu saya 67tahun, masihkan boleh diubati dan berapa kos rawatan yg dikenakan

    BalasPadam