RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipasak.blogspot.com

Selasa, 15 Mei 2012

Rokok: Mudarat dan Haram


ROKOK: MUDARAT DAN HARAM

ROKOK memudaratkan kesihatan dan boleh membunuh. Namun, rokok juga yang rata-ratanya menjadi suatu bahan yang paling digemari segelintir manusia. Tabiat merokok bukan sahaja dilakukan di pejabat tetapi juga di rumah, stesen bas, tempat-tempat perkelahan atau di mana-mana jua. Seorang lelaki penggemar rokok akan berasa gelisah jika puntung rokok tidak disedut setiap kali singgah di sesuatu tempat. Sehinggalah Perintah Kawalan Tembakau 1993 dikuatkuasakan, tempat-tempat awam dilarang merokok. Denda berjumlah RM50 hingga RM100 dikenakan kepada sesiapa yang melanggarnya.

Menurut peruntukan undang-undang, Seksyen 36-Akta Makanan 1983 memperuntukkan bahawa tembakau, cerut, rokok, tembakau sedut dan bahan-bahan lain sama sahaja terpakai bagi makanan. Diikuti Perintah Kawalan Tembakau 1993 digubal. Kemudian harga rokok dinaikkan, manakala Belanjawan 1995 dibentangkan, duti impot telah dinaikkan terhadap rokok. Terakhir, disebabkan umat Islam masih pekak dan bisu tentang bahayanya terhadap kesihatan perokok dan orang yang duduk berdekatan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bahagian Hal Ehwal Islam Ke-37 yang diadakan di Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur pada 23 Mac, 1995 telah menetapkan bahawa "Merokok Adalah Haram Dalam Pandangan Islam".

Sebenarnya, tujuan digubal segala peraturan dan undang-undang berhubung dengan tabiat merokok adalah bertujuan untuk mengawal tabiat merokok sekaligus untuk membendung gejala tersebut khususnya di kalangan umat-umat Islam. Umat-umat Islam yang sayangkan kesihatan diri sendiri, ahli keluarga dan rakan-rakannya tidak akan berbuat demikian kerana hakikatnya rokok boleh mengancam kesihatan manusia.

Tabiat merokok di kalangan umat-umat Islam bukan setakat menular di negara-negara Islam yang lain di seluruh dunia, tetapi di Malaysia sendiri turut mengalami hal yang sama. Gejala merokok ini bukan sahaja tertumpu kepada golongan profesional semata-mata seperti doktor, peguam, ahli farmasi dan guru-guru, tetapi golongan miskin sama ada dari kalangan dewasa dan kanak-kanak sanggup merokok kerana mendakwa rokok menerbitkan "citarasanya yang sejati".

Jumlah perokok di negara ini agak membimbangkan. Menurut perangkaan Kajiselidik Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia yang dijalankan sejak tahun 1986, jumlah perokok di negara ini adalah seramai 1.7 juta orang di mana satu orang dalam setiap lima orang dewasa adalah merokok. Ia meliputi 41 peratus lelaki dewasa berumur 15 tahun dan ke atas dan 4 peratus perempuan dewasa berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok. Statistik jumlah perokok berkenaan semakin meningkat setiap tahun berpunca dari pelbagai faktor.

Segelintir perokok di kalangan umat Islam beranggapan bahawa merokok akan menjadikan seseorang itu lelaki sejati dan tahan lasak. Namun, tidak kurang juga yang merokok sekadar untuk menghindarkan kekecewaan dan segala masalah. Tetapi pada hakikatnya, kebanyakan perokok telah mengalami rasa ketagihan terhadap rokok tersebut.

Sebab-sebab yang mendorong sebilangan umat Islam merokok dengan jumlah yang begitu buruk disebabkan mereka tidak menyedari bahawa merokok boleh membahayakan kesihatan dan menyebabkan kematian awal.

Rokok adalah suatu alat propaganda Yahudi untuk melemahkan dan menghancurkan Islam dan umat-umatnya. Ia merupakan satu cara yang dianggap paling berjaya dan memberikan kesan kemusnahan terhadap Islam yang pernah dilaksanakan oleh Yahudi dan kuncu-kuncunya. Dengan kata lain, walaupun rokok kelihatannya kecil pada pandangan zahir, sebaliknya boleh memusnahkan kehidupan manusia sama ada dari konteks kesihatan, ekonomi keluarga serta negara dalam jumlah yang besar.

Menurut suatu sumber, rokok digunakan dalam suatu upacara keagamaan oleh pendita-pendita kaum Maya di Mexico, Amerika sebelum masihi lagi. Sebahagian sejarawan mengatakan bahawa rokok itu mula dikenal di negara Yahudi (musuh Allah dan Rasul). Di sanalah rokok diperkembangkan ke negara-negara jiran dan lain-lain kawasan dunia untuk melemahkan manusia-manusia sihat khususnya penganut-penganut Islam yang selalu sihat dan bersih.

Pendapat lain menyatakan, orang-orang Kristian dari Eropah memperkembangkan rokok ke negara-negara jajahannya untuk menindas negara itu dari segi ekonomi, fizikal dan mental sesudah bahan itu dibawa dari Amerika berikutan penemuan benua itu pada tahun 1492 Masihi oleh Christoper Columbus (1451-1506 Masihi), seorang Putera Itali.
(Sumber: Buku Masalah Merokok dan Keharamannya, Ustaz Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh, Kelantan)

Ini menunjukkan bahawa, perokok di kalangan umat-umat Islam telah tertipu dengan dakyah golongan Yahudi dan Kristian itu. Namun hakikat yang sebenarnya, ramai di kalangan perokok adalah jahil tentang bahaya dan risiko yang bakal ditanggung akibat merokok.

Bahaya atau risiko ialah menimbulkan ancaman dan kemudaratan terhadap kesihatan serta nyawa manusia. Orang yang duduk berdekatan dengan perokok akan menerima ancaman 80 peratus dari asap yang disedutnya berbanding 40 peratus diterima oleh perokok sendiri. Risiko merokok boleh mengakibatkan serangan jantung, penyakit kardiovaskular, batuk, kanser serviks, kanser paru-paru, flu, pneumonia, radang tenggorok bagi kanak-kanak, masalah kehamilan dan boleh membawa maut.

Bahaya rokok adalah kerana terdapat beberapa bahan tertentu di dalam setiap rokok. Di antaranya nikotin, candu tar, karbon monoksida, sebatian kimia seperti Pridine Methly Alkohol. Nikotin adalah sejenis racun yang terkuat yang menyebabkan rasa ketagihan yang terkandung dalam daun tembakau. Jika disuntik terhadap manusia, ia boleh menyebabkan kematian dengan serta merta. Candu tar pula adalah sejenis candu beracun yang apabila masuk ke dalam kerongkong dan paru-paru bersama asap akan melemahkan dan mendatangkan penyakit barah.

Menurut Dr. Zarihah Zain, Penolong Pengarah Unit Kawalan Barah, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 4,000 bahan kimia beracun dalam asap rokok. Racun-racun ini juga didapati dalam racun serangga, detergen, penggilap lantai dan ubat gegat. (Sumber: Utusan Pengguna, CAP, Julai 1994)

Selain menimbulkan gangguan terhadap kesihatan, ancaman merokok juga menyebabkan umur seseorang perokok itu akan hilang dalam beberapa tahun dan beberapa minit. Kenyataan ini pernah ditegaskan oleh Doktor Hajar bin Ahmad dengan katanya; sedarikah anda:
1. Bahawa perokok itu umurnya akan hilang dari 8 hingga 12 tahun?
2. Bahawa perokok itu umurnya akan hilang dari 15 hingga 18 minit daripada umurnya pada setiap kali menghisap sebatang rokok?
(Sumber: Buku Masalah Merokok dan Keharamannya, Ustaz Abdullah Al-Qari Haji Salleh, Kelantan)

Punca kematian akibat merokok juga sering tidak dipedulikan oleh perokok. Ini kerana, menurut laporan Utusan Pengguna, CAP, Julai 1994, merokok merupakan punca terbesar kematian yang boleh dielak:
1. Ia membunuh manusia 375 kali ganda berbanding ubat yang diharamkan.
2. Ia membunuh manusia 170 kali ganda berbanding AIDS.
3. Ia membunuh manusia 155 kali ganda berbanding bencana kebakaran-kebanyakan berpunca daripada kecuaian perokok.
4. Ia membunuh manusia 20 kali ganda berbanding kemalangan jalan raya.
5. Ia membunuh manusia 15 kali ganda berbanding kejadian bunuh diri, dibunuh atau pembunuhan beramai-ramai.
6. Bagi setiap manusia yang mati dalam apa jua bentuk kemalangan, tujuh mati akibat tabiat merokok.

Dalam pada itu, ekoran bertambahnya jumlah perokok, diikuti perokok yang dimasukkan ke hospital akibat diancam penyakit-penyakit tertentu dan kematian yang berpunca dari tabiat merokok, ini menunjukkan umat-umat Islam masih lagi belum sedar tentang kepentingan terhadap kesihatan. Di samping tegahan, larangan dan hukum terhadap rokok yang sepatutnya diberikan perhatian oleh semua muslimin dan muslimat.

Di dalam Islam, memiliki kesihatan yang sempurna amat ditekankan supaya setiap mukmin itu dapat beribadat dengan lebih khusyuk kepada Allah S.W.T.  Sedangkan kesihatan yang baik itu suatu nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T  terhadap hamba-hamba-Nya. Rasulullah S.A.W  tidak menyukai orang-orang yang mensia-siakan peranan kesihatan di dalam kehidupannya. Di dalam sebuah hadis, telah diterangkan betapa terdapat segelintir manusia yang tidak mempedulikan kepentingan kesihatan. Sebuah hadis yang diberitakan daripada Ibnu Abbas, r.a, Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud:

"Ada dua macam kenikmatan yang keduanya itu disia-siakan oleh sebahagian besar manusia iaitu kesihatan dan kelapangan waktu". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Tabiat merokok bukan sahaja mempunyai kaitannya dengan aspek kesihatan, ekonomi dan sosial, malahan ia juga melibatkan sudut Agama Islam dan hukum. Sebenarnya, sejak awal lagi Islam telah menegah malah telah mengharamkan tabiat merokok di kalangan umat-umatnya. Ini menunjukkan bahawa perihal halal telah jelas dan perkara haram telahpun dijelaskan dengan setepat-tepatnya. Hanya yang benar-benar menghayati Islam dan orang beriman sahaja yang telah maklum dan dapat membezakan di antara yang baik dan buruk, di antara yang halal dan haram.

Membicarakan masalah merokok di negara-negara Islam oleh umat-umat Islam kini amat begitu ketara. Dalam hal ini, segelintir ulama berpendapat bahawa merokok adalah "halal". Sesetengahnya pula menganggap merokok itu sendiri "makruh" kerana dikatakan satu perkara kecil semata-mata tanpa melibatkan aspek-aspek yang lain.

Berhubung dengan merokok dihukumkan halal dan makruh, hujah berkenaan hanya didasarkan kepada satu aspek semata-mata tanpa memperhitungkan aspek-aspek yang lain umpamanya tentang kemudaratan terhadap kesihatan individu perokok dan orang lain yang berpunca dari perokok di samping masalah ekonomi dalam negara, kejahilan umat-umat Islam melabur untuk meneguhkan firma-firma Yahudi melalui rokok, merokok adalah satu perkara ke arah pembaziran dan merokok juga boleh mengganggu orang lain termasuk malaikat.

Sebilangan ulama lagi mengeluarkan hujah bahawa merokok adalah haram berdasarkan sesuatu sebab tertentu. Di antara para ulama yang mengeluarkan pendapat bahawa "merokok itu haram" di dalam Islam seperti ulama-ulama Mesir terdiri daripada Asy-Syeikh Ahmad Al-Sanhuri Al-Hanbali dan Syeikh Malikiah Ibrahim Al-Liqani, berpendapat rokok yang diperbuat dari "tembakau" adalah haram dan ditegah dari menggunakannya.

Pendapat-pendapat yang sama juga dikeluarkan oleh Abu Al-Ghais Al-Qashashi Al-Maliki (Maghribi), Ibrahim bin Jam'an dan muridnya Abu Bakar Al-Indal (Yaman), Al-Muhaqiq Abdul Malik Al-Ashomi dan muridnya Muhamad bin I'lan dan Syed Umar Al-Basri (Al-Haramain), Asy-Syeikh Muhamad Khuwajah dan Isa Asy-Syahadi Al-Hanafi dan Makki  bin Furukh dan Syed Sa'id Al-Bukhi Al-Madni dan Muhammad Al-Barzanji Al-Madni Asy-Syafie (Rom). Profesor Doktor Ahmad Shalabi juga menegaskan bahawa merokok yang boleh membahayakan manusia dalam pelbagai segi kehidupan adalah haram sama sekali.
(Sumber: Risalah Merokok Haram, Haji Mahyuddin Mohammad Al-Ghazali bin Haji Abdullah, Kelantan).

Begitu juga seorang ulama Islam terkenal dewasa kini, Profesor Dr. Yusuf Al-Qardhawi melarang umat-umat Islam makan, minum atau menghisap sesuatu yang dapat membunuh dirinya sama ada cepat atau lambat. Di dalam kitabnya "Al-Halalu Wal Haramu" (Halal dan Haram Dalam Islam), beliau menegaskan:

"Rokok (tembakau) itu selama dikatakan berbahaya oleh doktor, maka menghisapnya dihukumkan haram. Lebih-lebih lagi kalau doktor spesialis sudah menetapkan hal tersebut kepada seseorang pesakit".

Adalah tepat dan wajar tabiat merokok dihukumkan haram di dalam Islam kerana telah termaktub di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W  iaitu:

1. Tiap-tiap yang memabukkan itu adalah haram.

Sabda Nabi S.A.W  dalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Setiap yang memabukkan (merosak akal) dihukum arak". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabda Nabi S.A.W  lagi di dalam hadis yang lain bermaksud:

"Bermula tiap-tiap yang mabuk itu haram". (Hadis riwayat Muslim)

2. Rokok (tembakau) menyebabkan fikiran menjadi lesu kerana terdapatnya bahan-bahan berbahaya seperti nikotin, candu tar, karbon monoksida serta sebatian kimia Pridine Methly Alkohol.

Rasulullah S.A.W  melarang terhadap sesuatu yang boleh memabukkan bahkan melesukan fikiran sebagaimana tegahan  Baginda dalam sebuah hadis yang diberitakan daripada Ummu Salamah r.a, Nabi S.A.W  bersabda:

"Telah menegah Rasulullah S.A.W  daripada tiap-tiap perkara yang mabuk dan melesukan fikiran".
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

3. Merokok mengeluarkan bau yang busuk sehingga boleh mengganggu dan menyakiti orang yang duduk berdekatan apatah lagi malaikat. Namun, jin dan syaitan amat menggemari bau yang busuk kerana asap adalah makanan jin dan syaitan terbabit.

Hadis yang diberitakan daripada Anas r.a, Nabi S.A.W  bersabda:

"Siapa-siapa yang menyakiti orang muslim, maka sesungguhnya ia menyakiti akan daku dan sesiapa yang menyakiti akan daku, maka sesungguhnya ia menyakiti Allah".
(Hadis riwayat At-Tibrani dalam Al-Aushot dengan sanad yang baik)

Sabda Nabi S.A.W  dalam hadis yang lain bermaksud:

"Janganlah membahayakan orang lain dan janganlah (membiarkan) dibahayakan".
(Hadis riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah dan Ad-Daar Qutni)

4. Merokok merupakan satu perbuatan ke arah pembaziran wang. Sebaliknya tabiat membazir itu adalah tergolong dalam kalangan syaitan.

Firman Allah S.W.T  bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang membazir itu saudara syaitan, sedang syaitan sangat engkar kepada Tuhannya".
(Surah Al-Isra': ayat 27)

Sabda Rasulullah S.A.W  dalam sebuah hadis bermaksud:

"Rasulullah melarang menyia-menyiakan harta benda".
(Hadis riwayat Al-Bukhari, Imam Ahmad dan Ad-Daarimi - Sahih)

5. Allah S.W.T  hanya menghalalkan benda-benda yang baik dan mengharamkan benda-benda yang kotor dan keji. Rokok termasuk dalam benda-benda yang kotor dan buruk.

Firman Allah S.W.T  bermaksud:

"Mereka menyuruh dengan kebaikan dan menegah dari kemungkaran, dan Allah menghalalkan bagimu benda-benda yang baik dan mengharamkan ke atasmu benda-benda yang jijik-jijik dan kotor".
(Surah Al'Araf: ayat 157)

6. Allah S.W.T  melarang seseorang mukmin itu membunuh atau mencampakkan dirinya sendiri ke arah kebinasaan. Tabiat merokok adalah tergolong dalam kancah ini.

Firman-Nya yang bermaksud:

"Nafkahkanlah (berkorbanlah) di jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan dirimu sendiri dengan tanganmu kepada kebinasaan, dan buatlah kebaikan kepada orang lain, sesungguhnya Allah itu menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan". (Surah Al-Baqarah: ayat 195)

7. Islam hanya mementingkan kepada kesihatan yang sempurna dan bersih dalam segala hal. Ini kerana, kebersihan itu adalah sebahagian dari iman. Sebaliknya perokok adalah seorang pengotor.

Sabda Rasulullah S.A.W  yang bermaksud:

"Kebersihan itu adalah sebahagian dari iman". (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan kepada tabiat merokok yang begitu ketara di kalangan umat-umat Islam dewasa ini yang dianggap semakin buruk, adalah amat sesuai sebuah fatwa tentang rokok dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Ini kerana, beberapa buah negara Islam sudah menetapkan merokok haram di sisi Islam. Bahkan dalam Persidangan Antarabangsa Mengenai Dadah, Arak dan Merokok di Madinah anjuran Persatuan Ulama Dunia pada tahun 1982 turut memutuskan tabiat merokok sebagai perbuatan haram di sisi Islam. (Sumber: Harian Watan, 8-11-1994)

Berikutan betapa merokok boleh menyebabkan pelbagai keburukan dan kemusnahan tanpa sedar kepada Agama Islam dan penganut-penganutnya, hukum haram terhadap rokok adalah tindakan tepat dan setiap umat Islam di Malaysia tidak perlu mempertikaikan lagi, apatah lagi doktor-doktor spesialis telahpun memberikan pandangan dan hujah tentang bahayanya terhadap kesihatan manusia. Dalam hal yang sama, apa yang diterapkan dalam aspek kesihatan dan ditetapkan di dalam Al-Quran serta hadis Rasulullah S.A.W  amat jelas. Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

"Dan apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia; dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah". (Surah Al-Hasyr: ayat 7)

Lagipun Allah S.W.T  telah menganugerahkan akal dan minda untuk berfikir, menilai serta dapat membezakan di antara yang baik dan buruk. Seandainya benda-benda yang buruk dinilai sebagai yang baik dan menjadi ikutan malah diberi tumpuan pula, ini menunjukkan individu terbabit masih didorong oleh nafsu dan pemikiran yang cetek dan buruk. Firman Allah S.W.T  di dalam Al-Quran yang berbunyi:

"Sesungguhnya seburuk-buruk binatang (makhluk) pada pandangan Allah ialah orang-orang yang pekak dan bisu yang tidak dapat berfikir". (Surah Al-Anfal: ayat 22)

Dari konteks hak dan tanggungjawab, bagi bukan perokok yang tidak menggemari orang yang duduk bersebelahannya adalah perokok boleh meminta perokok terbabit beredar dari tempat itu atau meminta perokok mematikan rokok yang telah disedutnya. Ataupun bukan perokok yang perlu atau terpaksa beredar dari situ supaya perokok lebih memahami bahawa tabiat merokok itu memang tidak disukai. 

Justeru, manusia yang ingin mencari agama Islam dan menjadi penganut Islam yang sejati dan benar-benar beriman adalah manusia yang dapat menilai di antara yang baik dan buruk. Sebaliknya, ia dapat ditakrifkan sebagai manusia yang jahil, degil dan berpaling dari kebenaran yang nyata jika masih terus mengikut telunjuk syaitan yang bertopengkan manusia.




Perokok begitu asyik dengan dunianya.


Masjid Alor Pasir, Wakaf Baharu, Kelantan turut menjalankan kempen "Tak Nak! Merokok".

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan