RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipasak.blogspot.com

Selasa, 1 Mei 2012

Misteri Lihat Makhluk Halus


MISTERI LIHAT MAKHLUK HALUS
(Gara-gara Nahas Jalan Raya)

KOTA BHARU, KELANTAN:  KESEMPATAN dan kemampuan dapat melihat alam yang dihuni oleh makhluk halus adalah pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan seumur hidup. Apatah lagi, langsuir dan jin termasuk puteri tujuh yang dianggap oleh sesetengah orang adalah puteri bunian yang tercantik.

Segalanya bermula ekoran kemalangan motosikal yang ditunggang oleh Penulis bersama isteri pada petang 26 Oktober, 2003 iaitu sehari sebelum seluruh umat Islam di negara ini akan menyambut kehadiran bulan Ramadan Al-Mubarak.

Pada tarikh berkenaan, Penulis bersama isteri menuju ke destinasi yang dihajatkan iaitu ke Pasar Siti Khadijah dan pusat membeli-belah yang berhampiran untuk mendapatkan barangan yang patut untuk tujuan bersahur di samping membeli barangan keperluan dapur termasuk pakaian untuk anak-anak sebagai persiapan menyambut Aidilfitri pada tahun berkenaan.

Semasa bertolak dari rumah, cuaca pada hari itu agak cerah dan orang ramai juga kelihatan berpusu-pusu ke pasar dan pusat membeli-belah sebagai persiapan untuk tujuan yang sama.

Selesai membeli segala keperluan, Penulis pun bertolak pulang. Namun, dengan tidak semena-mena, cuaca berubah menjadi gelap. Tiba-tiba hujan turun dengan lebat dan jalan menjadi basah dan licin. Perjalanan pula menjadi lambat apabila kebanyakan kenderaan yang berada di jalan raya memperlahankan pemanduan, tambahan pula bilangan kenderaan juga agak luar biasa banyaknya pada hari itu. Penulis dan isteri turut kebasahan biarpun baju kalis air (baju hujan) yang dipakai untuk mengelak dari terkena hujan.

Apabila tiba di salah satu selekoh di Jalan Telipot untuk masuk ke Jalan S.I.C Lama, Kota Bharu yang didakwa sering berlaku kemalangan parah di kawasan itu, bahkan sering dilalui oleh Penulis untuk ke pajabat, dengan tiba-tiba motosikal yang ditunggang terbabas betul-betul di atas garisan berkembar. Penulis tercampak ke sebelah kanan jalan menghala ke Jalan Kuala Krai, manakala isteri pula terduduk ke sebelah kiri jalan menghala ke Jalan Sultan Yahya Petra/Lundang. Motosikal yang ditunggang Penulis pula terbalik betul-betul di atas garisan berkembar itu. Namun, syukurlah motosikal terbabit dapat dihidupkan.

Apa yang menghairankan Penulis, lazimnya apabila berlaku kemalangan mengejut seperti itu, sudah tentu mangsa kemalangan akan dilanggar kenderaan lain yang lalu lalang di jalan terbabit, namun Penulis dan isteri terselamat dari insiden berkenaan walaupun mengalami luka dan patah gigi.

Setibanya di rumah, Penulis cuba mengimbas kembali kemalangan yang berlaku itu memang tidak masuk akal dan merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Kemungkinan terdapat satu benda tegap yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar yang menghalang pergerakan. Jika sebaliknya, kemalangan itu tidak mungkin berlaku kerana motosikal yang dipandu Penulis bukannya laju.

Tanggapan Penulis ada kebenarannya. Ini kerana, tiga hari selepas kemalangan itu, Penulis telah dikunjungi oleh satu makhluk yang berwajah hitam, berkepala botak, memakai kain bercorak kotak hijau dan putih tanpa memakai baju, kelihatan dengan jelas puting pusatnya sebesar ibu jari sedang memerhatikan ke arah Penulis. Dia memperlihatkan seluruh tubuhnya yang gempal serta berwarna coklat tua kehitaman, berkaki ayam namun tidak kelihatan dengan jelas wajahnya. Mungkin Penulis telah melanggar atau memijaknya yang membuatkannya berasa sakit dan marah lalu bertindak menemui Penulis.

Di antara sedar atau tidak pada ketika itu, Penulis sedang berhadapan dengannya bukannya di rumah sebaliknya di selekoh tempat berlakunya kemalangan tempoh hari. Kami berdiri menghadap antara satu sama lain. Suasana di situ agak gelap dan luar biasa kerana tiada sesiapa di kawasan itu selain kami berdua sahaja. Penulis bertanya kepada makhluk berkepala botak itu, kenapa Penulis dibawa ke situ. Makhluk halus itu menyatakan bahawa Penulis telah mengganggu tempat tinggalnya iaitu Penulis telah memijak bahagian belakangnya ketika dia meniarap di situ. Namun, Penulis memarahinya kerana Penulis memang tidak nampak dia tidur di kawasan terbabit dan memintanya tidak lagi tidur di situ atau berambus saja dari laluan yang sering digunakan oleh Penulis setiap hari.

Selang tiga hari kemudian, kejadian yang sama berulang lagi, Penulis dan makhluk berkepala botak berdiri berhadapan di antara satu sama lain, namun kami tidak bersuara sepatah pun. Namun, seminggu kemudian, kediaman Penulis tiba-tiba dikunjungi oleh seorang pemuda yang agak 'kacak' di mana wajahnya dan tubuhnya agak kurus dengan mengenakan baju kemeja lengan panjang berwarna putih serta berkotak halus dengan garisannya agak tebal di samping mengenakan seluar 'yengki' (ala tahun 60-an) berwarna coklat kemerah-merahan.

Dalam pemerhatian, Penulis dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kehadirannya, lalu Penulis mencabar supaya makhluk berkenaan tidak menghampiri Penulis. Namun, makhluk itu tetap dengan pendiriannya untuk mendekati Penulis. Penulis membentak dan memberi amaran agar tidak menghampiri Penulis, tetapi amaran itu tidak dipedulikan sehingga memaksa Penulis melaungkan azan.

Sebaik sahaja azan dilaungkan "hayya alal falah", tiba-tiba pakaian yang dipakai oleh makhluk itu habis tertanggal semuanya sehingga menampakkan kemaluan, dengan malunya makhluk itu cuba menutupnya kerana Penulis melihat dengan jelas anu yang terpampang di mata Penulis.

Kemudiannya, Penulis didatangi pula dua makhluk halus yang berbeza pada sepuluh hari yang berikutnya. Salah satunya berkepala botak yang pernah berhadapan dengan Penulis sebelum ini, manakala makhluk yang satu lagi kelihatannya memakai mahkota yang indah dan berjubah hitam seperti imam atau seorang raja melihatkan baju yang agak mewah yang dipakainya. Kedua-dua makhluk itu memegang kedua-dua tangan Penulis menyebabkan Penulis meronta-ronta untuk melepaskan diri, tetapi tidak berjaya sehinggalah Penulis terpaksa melaungkan azan, barulah makhluk itu ghaib.

Pada hari berikutnya, Penulis dan isteri telah dibawa ke sebuah alam yang agak begitu asing yang tidak pernah Penulis masuki. Di situ terdapat pohon-pohon yang tersusun indah, rumput renek, air yang mengalir tenang seolah-olah di salah sebuah sawah padi yang ditinggalkan.

Penulis memberi nasihat kepada isteri agar tidak melangkaui sempadan di satu kawasan yang agak pelik dibimbangi akan ditimpa sesuatu musibah. Namun, Penulis dapat rasakan makhluk tersebut mengekori kami dari belakang sehinggalah makhluk itu berjaya memintas kami lalu terlanggar Penulis. Penulis dapat rasakan tubuhnya terlalu gagah dan tegap, pejal, keras dan kukuh sehingga Penulis terjatuh.

Pada malam-malam yang berikutnya pula, Penulis tiba-tiba dapat melihat tujuh gadis cantik, pada fikiran Penulis mungkin puteri bunian melihatkan rupa parasnya yang agak gempal dan berisi. Puteri yang nombor enam agak cantik berbanding yang lain-lainnya, kesemuanya berpakaian baju lengan panjang agak ketat dan berseluar jeans berwarna biru lusuh seperti pakaian manusia biasa. Semasa ketiadaan Penulis pada pagi esoknya, isteri Penulis memaklumkan puteri tujuh itu telah hadir ke rumah Penulis jam 9.30 pagi. Ini dapat dirasakan oleh isteri Penulis menerusi hembusan angin yang berbau harum dan nyaman di dalam rumah sebanyak tiga kali.

Oleh kerana peristiwa pelik itu berlaku silih berganti malah boleh dikatakan hampir setiap malam, Penulis meminta seorang Pengamal Rawatan Tradisional, Warisan Pusaka Tok Kenali yang juga mahir dalam urutan refleksi, Aziz Haji Daud atau Abang Aziz untuk mengurut tubuh Penulis yang berasa tidak selesa akibat kemalangan tempoh hari itu.

Penulis menceritakan kepadanya peristiwa bagaimana beberapa makhluk berkepala botak dan seorang lain memakai mahkota di atas kepalanya selepas kemalangan itu. Menurutnya, makhluk berkepala botak itu adalah jin bukan Islam, manakala makhluk yang mempunyai mahkota di atas kepalanya adalah raja jin Islam dan kawasan kemalangan itu memang sering berlaku kejadian nahas sehingga ada yang maut kerananya. Malahan sering juga kelihatan makhluk aneh sedang berkeliaran di kawasan terbabit setiap kali malam menjelang.

Menurutnya, hanya orang yang kuat jiwanya dan mempunyai ilmu rohani akan dapat melihat rupa paras makhluk halus, malahan Abang Aziz berpendapat, Penulis telah menjurus ke arah itu.

Pada tahun 2004, Penulis dapat melihat rupa paras makhluk halus secara total dan boleh berbicara dengan makhluk terbabit. Semenjak dari saat itu jugalah, keluarga Penulis iaitu isteri Penulis dan anak-anak dapat melihat, merasakan kehadiran makhluk halus malah dapat mendengar bunyi kehadiran makhluk berkenaan.

Semenjak dari peristiwa nahas itu, Penulis berkesempatan melihat rupa paras seorang perempuan cantik yang memakai mini skirt hijau muda dengan jelas pada 10 Ogos, 2005 iaitu di rumah Penulis pada pukul 3.00 pagi selepas qiamullail dan ketika menikmati udara malam di hadapan rumah. Perempuan muda itu kemudiannya melangkah perlahan-lahan, lalu ghaib di tengah-tengah jalan di hadapan rumah yang keenam itu.

Seminggu selepas dapat melihat perempuan cantik itu, Penulis dapat melihat kucing hitam aneh bermata merah ketika hujan renyai-renyai sewaktu menghantar anak lelaki Penulis ke sekolah tusyen jam 8.00 malam. Malah pada malam yang sama, Penulis terlihat daun kelapa berbentuk "S" terbalik yang memancarkan sepasang mata bersinar setelah disuluh dengan lampu. Malahan pada jam 3.30 pagi esoknya, Penulis telihat langsuir yang terbang dari sebatang pokok stol di hadapan rumah jiran lalu ghaib di atas bumbung rumahnya.

Manakala pada bulan September 2005 pula, ketika Penulis bersama isteri dan anak-anak sedang mengadakan operasi mencuci longkang tersumbat berhampiran rumah jiran, Penulis terpandang sebuah motokar seiras Toyota model lama berwarna merah belang bercampur putih susu yang diparkir bersebelahan sebatang pokok kelapa yang arah hadapannya sedang menghadap ke arah Penulis. Waktu itu jam menunjukkan pukul 7.00 malam. Penulis meminta anak-anak supaya masuk ke dalam rumah dengan segera dan tidak lagi bermain luar rumah.

Pada malam yang berikutnya, Penulis dapat menghidu bau seperti ada yang sedang memasak. Kejadian itu berlaku di antara jam 2.00 pagi hingga 3.30 pagi. Dengan tidak disangka-sangka, Penulis dapat melihat majlis kenduri besar-besaran yang dilakukan oleh makhluk berkenaan. Menariknya, pakaian yang dipakai oleh makhluk terbabit seperti manusia juga iaitu bagi lelaki bersongkok dan sepasang baju Melayu yang mempunyai samping. Manakala bagi wanita (isterinya ) pula memakai sepasang baju kurung sedondong dengan suaminya. Salah satu keluarga makhluk halus terbabit yang selesai menikmati hidangan dalam majlis mereka di mana suaminya memakai baju berwarna merah jambu dengan tiba-tiba bertanya isterinya tentang anak perempuannya yang didapati hilang. Isterinya memberitahu, bahawa anaknya itu sedang bermain-main dengan Penulis. Penulis memberitahu anak kecil itu supaya mendapatkan abah dan mamanya, kerana ibu dan bapanya dalam kebimbangan. Anak kecil itu, menggosok betis Penulis lalu berlari ke arah ibu dan bapanya sambil melambai-lambai.

Manakala pada 1 Januari, 2006 Penulis sekali lagi nahas apabila motosikal milik Penulis sendiri seolah-olah melanggar sesuatu yang tidak kelihatan di jalanan bersebelahan dengan benteng jalan yang menghala ke Wakaf Siku dan Jalan Kebun Sultan pada jam 8.08 malam. Motosikal yang ditunggang Penulis tiba-tiba terbalik dan Penulis terpelanting tetapi jatuh dengan agak baik. Hairannya, motosikal Penulis yang terbalik itu tiba-tiba melambung ke seberang benteng jalan. Namun hairannya, tiada sesiapa pun yang perasan dengan kejadian itu walaupun kelihatan beberapa restoran memang dipenuhi orang ramai yang sedang menikmati makan malam, apatah lagi nahas itu juga bersebelahan dengan kenderaan yang sedang berbaris panjang sementara menunggu lampu isyarat merah bertukar hijau.

Penulis kemudiannya bangkit lalu melihat dahi Penulis luka dan berdarah akibat terkena cermin topi keledar. Dengan tiba-tiba Penulis dapat melihat seorang remaja lelaki yang memakai baju-T tanpa kolar berbunga biru muda agak lusuh dengan tiba-tiba meluru ke arah Penulis dengan motosikal Honda Class 1 berwarna biru seolah-olah ingin membantu Penulis. Penulis memberitahunya tiada apa-apa lalu mengangkat motosikal Penulis yang terbalik dan melambung di seberang benteng jalan itu. Setelah dapat menghidupkan enjin motosikal, Penulis memandu mengekori remaja terbabit. Sewaktu tiba di sebuah lampu isyarat di hadapan bangunan Pasar raya Billion, dengan tiba-tiba remaja lelaki terbabit ghaib di situ. Fahamlah Penulis bahawa remaja lelaki tersebut juga makhluk halus.

Selepas kejadian itu, pada 11 September, 2009 Penulis mengalami dua kejadian nahas iaitu nahas di Jalan Tengku Maharani Puteri dan di sebuah bangunan Wisma Ibrahim & Sons, Wakaf Siku apabila Penulis dapat melihat remaja lelaki makhluk halus sedang melintasi Penulis. Selepas itu, pelbagai kejadian lain dapat disaksikan dengan jelas. Antaranya, Penulis sempat melihat empat wanita sedang membawa obor api di kampung Penulis, ketika Penulis pulang ke kampung pada tahun berkenaan. Rupa-rupanya makhluk berkenaan telah menjadikan laluan ke rumah ibu Penulis di kampung terbabit sebagai perkampungannya. Terakhir sekali barulah Penulis dapat melihat lembaga puteri yang memakai kain tudung berwarna merah darah dengan memakai sepasang baju kurung Medan berwarna hijau muda, mungkin itulah ketuanya. Kejadian itu berlaku pada pukul 11.30 malam.

Sehingga kini, Penulis sering melihat beberapa makhluk halus yang menggunakan laluan di hadapan rumah Penulis. Dua kali Penulis dapat melihat salah seorang guru agama sedang membawa kitab agama berjalan perlahan-lahan kemudiannya ghaib di penghujung jalan. Selain dapat melihat kanak-kanak sekolah rendahnya yang memakai baju berwarna putih dan berseluar biru muda pendek turun dari sebuah van seperti Nissan Vanette yang agak lusuh di hadapan rumah Penulis.

Sementara di dalam rumah pula, Penulis juga dapat mengenalpasti bahawa beberapa kitab agama seperti Tafsir Al-Quran serta Sahih Bukhari sering digunakan oleh makhluk halus terbabit kerana didapati cara kitab berkenaan diletakkan agak berbeza dengan keadaan asal. Bahkan beberapa kali isteri Penulis perasan kerusi hitam yang sering diduduki oleh Penulis telah digunakan oleh makhluk berkenaan di waktu siang hari apabila didapati kerusi berkenaan bergerak ke kiri dan ke kanan untuk menunjukkan makhluk berkenaan sedang berada di atas kerusi terbabit.

Terbaru, iaitu pada 10 Mac, 2012 Penulis dapat memasuki sebuah "Kota Bunian" di mana kota berkenaan berwarna hitam seperti dibina dengan gua batu kapur. Perjalanan yang dirasai oleh Penulis dari Kota Bharu ke Pasir Mas itu, ternyata sebuah tempat berdekatan dengan landasan keretapi di bandar Pasir Mas dan berhampiran dengan sebuah Balai Polis di situ adalah sebuah kota yang dimaksudkan. Penulis dapat melihat dengan jelas kebanyakan yang memandang ke arah Penulis adalah golongan remaja lelaki dan dari raut wajah hampir sama dengan manusia, tetapi pakaian mereka lebih cantik lagi berbanding dengan manusia.

Manakala pada 4 April, 2012 pula Penulis dengan tiba-tiba dibawa oleh seorang agak berusia dalam kategori warga emas ke sebuah hutan yang kelihatannya agak kering kerana sudah agak lama hujan tidak turun. Kejadian itu berlaku jam 9.30 malam (waktu alam manusia) dan siang hari di alam bunian. Makhluk itu memperkenalkan dirinya sebagai "Penghulu Bunian" dan beliau memberitahu bahawa beliau mempnyai ramai Tok Guru. Memang bertuah dapat bertemu dengan penghulu bunian kerana jarang manusia dapat melihatnya. Tetapi kesempatan dapat melihat Penghulu Bunian ingin dikongsi oleh Penulis bahawa, Penulis memberitahunya bahawa Penulis juga mempunyai ramai Tok Guru, lalu Penulis memberitahunya satu persatu. Tetapi apabila Penulis menyebut Mahaguru "Sultan Aulia", dengan tiba-tiba Penghulu Bunian itu terus ghaib.

Esoknya, Penulis menghubungi Abang Aziz memberitahu hal berkenaan. Kata Abang Aziz, rugilah memperkenalkan nama Mahaguru kerana tidak dapat berceloteh lebih panjang. Sebab kata Abang Aziz, memang sukar untuk menemui dan berbicara dengan Penghulu Bunian kerana pangkatnya agak mulia di kalangan pengikut, pengikutnya sendiri amat sukar untuk berjumpa dengannya.

Justeru, banyak lagi pengalaman yang dialami oleh Penulis yang tidak dapat dinyatakan satu persatu dan Penulis dapat mengecam di alam manusia bahawa makhluk halus sememangnya semakin ramai datang ke alam manusia. Bagi Penulis, pengalaman dapat melihat rupa paras makhluk halus memang sukar dilupakan. Apatah lagi, keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T supaya mata kasar manusia dapat melihat makhluk yang tidak kelihatan oleh sesetengah orang adalah sesuatu yang agak luar biasa. Allah S.W.T  sahaja yang tahu segala-galanya.
 

Penulis.

Inilah selekoh Jalan Telipot, motosikal Penulis dan isteri terbalik di atas dua garisan berkembar. Makhluk halus (jin bertubuh hitam, kepala botak dan perut buncit sedang tidur meniarap di atas garisan ini).

Di sinilah Penulis melihat sesosok jelmaan wanita cantik memakai skirt hijau muda jam 3.00 pagi selepas qiamullail.

Sebuah kereta lama agak lusuh milik makhluk halus diparkir di sini ketika aktiviti mencuci longkang jam 7.00 malam.

Di hujung pokok stol inilah Penulis melihat langsuir (pakaian putih) terbang ke arah bumbung rumah terbabit lalu ghaib.

Inilah Jalan S.I.C Lama apabila Penulis terserempak dengan lelaki kurus memakai seluar yengki ketika aktiviti membuang sampah dalam tong sampah pada jam 12.30 malam.


 Laluan ke rumah di kampung Penulis. Di sinilah golongan bunian menjadikannya sebagai perkampungan mereka. 

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan