RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipasak.blogspot.com

Sabtu, 21 Januari 2012

Pokok Ajaib


POKOK AJAIB?

TUMPAT, KELANTAN:  ALAM yang kita huni ini memang kaya dengan pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan. Dari kebanyakan spesis tersebut, ada yang berguna sebagai unsur perubatan untuk kesihatan manusia. Namun, tanpa kita sedari tumbuh-tumbuhan juga mempunyai nama yang pelik tetapi tinggi nilai perubatannya. Misalnya Tongkat Ali, Tongkat Abdul Samad, Kacip Fatimah, Rempah Gunung, Lidah Buaya dan sebagainya. Tetapi tahukah anda bahawa, masih terdapat pokok aneh yang juga berkhasiat merawat penyakit manusia tetapi tidak diketahui namanya dan hanya dikenali sebagai "Pokok Ajaib".

Bagi merungkai asal usul pokok tersebut khususnya kepada kesihatan manusia, Penulis berkesempatan menemui pengusaha tapak semaian yang hanya ingin dikenali sebagai Abang Li, 40 (enggan dirakam gambar), dari Kampung Berangan Hujung, Tumpat, Kelantan.

"Spesis pokok ajaib ini memang banyak. Tetapi saya difahamkan di Kelantan, pokok ini diimpot dari dua negara. Bagi pokok yang berdaun hijau tua, asalnya dari Afrika. Manakala daun yang hijaunya muda datangnya dari Taiwan", cerita Abang Li.

Menurut Abang Li, dia mengusahakan tapak semaian dan menjual baja serta peralatan untuk menanam bunga tetapi tidak berhasrat untuk menjual pokok ajaib itu. Namun atas permintaan pelanggan, dia ada juga menjual pokok tersebut sejak empat tahun lalu. Pun begitu, permintaannya tidaklah begitu tinggi kerana masyarakat belum lagi mengenali dan mengetahui keistimewaan serta khasiat yang ada pada pokok tersebut.

Namun sejak akhir-akhir ini, jualan pokok ajaib agak memberangsangkan setelah masyarakat mengetahui ia mempunyai khasiat yang tersendiri dari sudut perubatan. Apatah lagi, pokok berkenaan juga turut dipromosikan di Ekspo Perdagangan di Kota Bharu, malah telah diniagakan secara besar-besaran di Rantau Panjang, Kelantan sebagai tarikan pelancong.

Apabila ditanya tentang khasiat dan nilai perubatan sebagaimana yang diwar-warkan, beliau enggan mengulas lebih lanjut kerana bimbang akan disalah tafsirkan. Namun menurut beliau, melalui pengalaman beberapa pesakit yang telah mengamalkan pengambilan pokok ajaib itu memberitahunya bahawa, pokok ajaib itu sememangnya mempunyai nilai yang tinggi dalam perubatan apabila dapat menyembuhkan beberapa penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, gout, asid dalam badan, gastrik, sembelit, sakit gigi, merawat jantung dan kanser.

"Salah seorang guru sekolah yang menghidap penyakit darah tinggi telah didapati sembuh sepenuhnya dan bebas dari penyakit itu setekah mengamalkan pengambilan pokok ajaib itu.

"Setahu saya, khasiat pada buah menandingi khasiat dalam daun. Ini kerana, apabila dimakan buahnya boleh menawarkan cuka dan mengurangkan rasa masam pada limau yang paling masam", ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau mendapat maklumat daripada seorang Pegawai Pertanian, pokok ajaib itu juga boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan iaitu boleh menyebabkan tekanan darah rendah sekiranya jika diamalkan oleh mereka yang tidak menghidap sebarang penyakit.

Dengan itu, pokok ajaib itu hanya sesuai bagi individu yang betul-betul menghidap penyakit di mana khasiat yang ada pada pokok berkenaan akan bertindak terhadap penyakit, seterusnya akan dapat dirasai sama ada berkesan atau tidak dalam beberapa jam kemudian.

Khasiat dan nilai perubatan yang ada pada pokok ajaib bukan sahaja menjadi minat di kalangan masyarakat Melayu sahaja, malah ia turut digemari oleh masyarakat Cina dan Siam setelah mengetahui akan khasiatnya.

Biarpun harga pokok tersebut agak tinggi iaitu antara RM180 sehingga RM1,300 mengikut ketinggiannya, namun ia tidak menjadi halangan kepada pelanggan untuk memilikinya, kerana bagi mereka harga bukanlah ukurannya, yang paling penting nilai perubatannya itu.

Tambah Abang Li, daun pokok tersebut tidak hanya direbus untuk mendapatkan airnya, malah daunnya boleh dimakan begitu sahaja.

"Bagi saya, lebih baik daun ini diamalkan segar dari diproses untuk dijadikan pil yang tentunya telah kehilangan banyak khasiatnya", ujarnya yang turut memberikan cadangan terbaik kepada pelanggannya kerana kesegarannya akan terkawal berbanding setelah diproses.   


Pokok Ajaib dari Afrika (kiri) dan Pokok Ajaib dari Taiwan (kanan).

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan:

  1. Saya berminat tuan azmi tentang pokok ajaib ni..blh tuan sms/wsap no kontek abg li ke 0129606793 poknik

    BalasPadam