RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipasak.blogspot.com

Rabu, 4 Januari 2012

Seni Bingkai Gambar


SENI BINGKAI GAMBAR

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  JANGAN menganggap bahawa sesuatu yang telah rosak dan terbuang itu walaupun dikatakan sampah dianggap sebagai tidak berguna. Kadang-kadang melihat benda yang terbuang itu boleh mendatangkan ilham bahkan darinya juga dapat melahirkan sesuatu yang bernilai seni. Mungkin ia tidak berguna ketika itu, namun kadangkala ia mendatangkan manfaatnya jika individu itu mempunyai minda yang kreatif apabila diterjemahkan dalam konteks yang lain pula.

Sebagaimana pengalaman seorang Pengusaha Ki Gallery, Abdul Suki bin Muhammad, 51,  yang menghasilkan bingkai gambar dari kraf rotan ketika ditemui Penulis di kedainya di Pasar Besar Wakaf Baharu, Kelantan amat bersyukur kerana barangan yang terbuang juga ada manfaatnya asalkan individu itu sentiasa berusaha ke arah itu.

Katanya, sebelum beliau menceburi bidang membuat bingkai gambar dari kraf rotan itu, beliau pada masa itu adalah seorang pelukis. Banyak lukisan potret yang dihasilkan di serambi rumahnya dijual kepada peminat-peminat yang menghargai khidmat yang dicurahkan sementara menunggu diumumkan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM).

Pada suatu hari, ketika beliau lalu lalang secara tidak sengaja anak matanya terlihat sebuah kerusi yang diperbuat dari kraf rotan didapati telah rosak yang telah dicampak serta dilonggokkan di tepi jalan oleh pemiliknya. Pada hematnya, mungkin pemiliknya menganggap kerusi seumpama itu tidak perlu lagi disimpan di dalam rumah kerana akan menyebabkan sakit mata memandangnya. Melihatkan keadaan kerusi rotan yang agak lusuh itulah dengan tidak disangka-sangka beliau mendapat ilham bahawa kerusi rotan itu ada seninya yang tersendiri dan individu yang menghasilkannya adalah seorang yang halus tentang seni kraf terbabit.

"Memang saya nampak, bahagian belakang (panyandarnya) menggunakan bilah-bilah rotan kecil. Jadi, saya angkat kerusi itu lalu dibawa pulang.

"Bilah-bilah rotan yang masih boleh digunakan saya atur, susun dan cantumkan pada sebuah bingkai gambar. Setelah selesai, saya dapati agak menarik. Saya cubalah memasukkan sehelai gambar poster ke dalam bingkai gambar itu, memang nampak cantik", katanya yang berjaya mengadunkan kedua-dua ilham seni di bidang tersebut di serambi rumahnya di Jalan Hulu Stesen, Wakaf Baharu ketika itu.

Tambahnya, melihatkan kejayaannya sebagai pencetus seni khususnya dapat menghasilkan bingkai gambar dari kra rotan pada ketika itu, dengan tidak disangka ramai yang datang ke rumahnya melihat sendiri kejayaannya. Menariknya, ramai yang memujinya bahawa cantuman begitu amat cantik kerana mereka tidak pernah melihatnya sebelum ini. Agak teruja juga dengan pelbagai pujian yang diterimanya kerana beliau sebenarnya tidak pernah belajar atau mengambil sebarang kursus dari mana-mana institusi untuk menghasilkan bahan tersebut, kecuali sekadar timbulnya ilham pada masa itu sahaja.

"Disebabkan ada yang menyatakan bingkai itu cantik, saya ambil kesempatan itu dengan menghasilkannya dalam jumlah yang banyak lalu menjualnya di kaki lima bangunan Kelab Pas di Kota Bharu sebagai percubaan di pasaran terbuka.

"Pada hari itu juga, pemilik Bersatu Supermarket di Kota Bharu tertarik dengan bingkai yang saya hasilkan, lalu membeli kesemua bingkai gambar itu secara tunai", jelasnya yang begitu teruja dengan perkembangan sihat kerana telah berjaya menjual kesemua produknya.

Berdasarkan pengalamannya dapat menghabiskan barangan kraf yang dihasilkannya sekaligus menyebabkan timbulnya semangat untuk menghasilkan lebih banyak lagi produk seumpama itu kerana beranggapan selepas ini mungkin banyak lagi tempahan akan diterimanya. Menurutnya, setiap kali bekalan bingkai gambar itu habis dijual oleh pemilik pasar raya itu, beliau diminta supaya menghasilkannya sebagaimana yang diperlukan.

Namun menurutnya, jualan barangan bingkai dari kraf rotan secara kecil-kecilan di kaki lima Kota Bharu hanya dapat bertahan selama setahun sahaja apabila arahan dikeluarkan oleh pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) melarang segala jenis perniagaan di tempat yang dimaksudkan atas alasan mengganggu lalu lintas dan menyebabkan kesesakan. Dari situ, beliau terpaksa berpindah ke serambi rumahnya sekarang di Jalan Hulu Stesen, Wakaf Baharu di mana selama 12 tahun beliau menghasilkan bingkai gambar dari kraf rotan itu apabila Pasar Besar Wakaf Baharu sekarang siap sepenuhnya, beliau mendapatkan lot di pasar berkenaan sehingga sekarang sebagai tapak perniagaan baru.

Tambahnya, kini telah mencecah 20 tahun beliau berkecimpung dalam bidang seumpama itu, namun baginya tidak pernah berasa jemu kerana beliau sebenarnya turut dibantu oleh Puan Almiah  binti Ketek atau lebih dikenali sebagai Kak Yah, 50, yang menurutnya amat mahir dengan kerja seni kraf seperti itu.

Katanya lagi, beliau sebenarnya amat bersyukur dengan keadaan sekarang kerana sewa kedai yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berjumlah RM75 sebulan amat memadai. Apatah lagi, dengan sambutan pelanggan memang tidak pernah lekang walaupun beliau telah berpindah ke tempat baru. Katanya, selama 20 tahun beliau menghasilkan bingkai gambar tersebut beliau telah dapat membeli sebidang tanah di samping membina sebuah rumah yang didudukinya sekarang.

"Dari segi persiapan, sekurang-kurangnya 100 buah bingkai gambar dapat disiapkan, manakala pendapatannya pula mencecah RM70 sehari", katanya yang begitu gembira dengan perkembangannya sekarang.

Kata Abdul Suki lagi, kebanyakan rotan yang digunakannya sekarang dibekalkan dari Pahang, malahan terdapat juga dari individu yang membekalkannya dari Pasir Mas, di mana beliau terpaksa membeli dalam jumlah yang banyak untuk menampung permintaan yang tidak putus-putus.

Menurutnya, jika dikira purata kasar dengan kayu kira-kira 12 sentimeter (satu kaki) bernilai RM5 termasuk cerminnya sekali. Manakala rotan itu pula dijual dengan harga RM6 untuk satu lapis, namun jika dua lapis harganya dikira tiga kali ganda berjumlah RM15.

Sambungnya, kebanyakan pelanggan yang membuat tempahan bukan sahaja terdiri daripada masyarakat tempatan, namun tidak kurang juga pelanggan dari luar Kelantan seperti dari Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Melaka. Kebanyakan pelanggan datang begitu teruja untuk mendapatkan produk berkenaan apabila mereka melancong ke Kelantan dan setelah pulang pelanggan berkenaan singgah di galerinya. Tidak kurang juga anak-anak Kelantan yang bertugas di luar dan apabila mereka kembali ke tempat masing-masing, mereka akan singgah dan membelinya untuk dibawa pulang. Malah terdapat beberapa orang pelancong dari England turut menempah dari beliau untuk dibawa ke negara mereka juga beranggapan bingkai tersebut memang kaya dengan seninya.

Katanya, beliau sering menerima maklumbalas daripada pelanggan yang pernah menempah produk bingkai krafnya itu yang menyatakan bahawa produk yang dihasilkannya itu kaya dengan nilai seni selain kemas dan berkualiti, kebanyakannya memang berpuas hati. Apatah lagi beliau yang turut dibantu oleh Kak Yah yang melakukan kerja agak halus penuh berhati-hati menambahkan lagi kepercayaan pelanggan terhadap kebolehannya. Sekarang ini, beliau menyerahkan buatan produknya itu kepada Kak Yah kerana menganggap Kak Yah mahir, sesuailah dengan sifat yang ada pada seorang perempuan sepertinya. Malahan dalam keadaan tertentu, Abdul Suki menganggap jika pembantunya tiada seolah-olah kekurangan sebelah tangan sebagai simbolik tentang hasil kerja pembantunya yang agak bagus dan memuaskan.

"Setakat ini, pasaran produk bingkai rotan agak menggalakkan kerana jarang individu melahirkan produk seperti ini. Saya menganggap diri saya menang kerana telah berjaya menghasilkan dan memasarkan produk itu sehingga diterima dan dikenali umum. Puncanya, produk yang dihasilkan itu tidak mempunyai pesaing, dengan demikian lebih mudah untuk memasuki pasaran.

"Saya yakin dan percaya atas sikap tekun dengan kerja apatah lagi berjaya menjaga hati pelanggan menjadikan produk kraf ini mendapat sambutan. Manakala tentang bayaran pula memang mampu dibeli oleh semua peringkat menjadikan produk bingkai rotan ini sentiasa mendapat perhatian", jelasnya.

Abdul Suki juga turut menyentuh tentang pelbagai bidang kerja seni yang pernah dilakukannya. Ini kerana, selain menghasilkan bingkai dari kraf rotan tersebut beliau juga turut menghasilkan logo yang dicetak pada baju-T dan sebagainya yang turut dilakukannya di rumah terutamanya sebelah malam sebagai kerja sambilannya. Bidang kerja seumpama ini memang dipelajarinya dan beliau pernah mengikuti beberapa kursus. Misalnya tentang reka bentuk dan corak batik beliau boleh menghasilkannya atas permintaan pelanggan bukan sahaja menghasilkan bingkai dari rotan itu.

Apabila ditanya tentang cita-citanya untuk memperkembangkan lagi galeri dan produknya kini, beliau menjelaskan memang berhasrat untuk berbuat demikian. Namun, beliau bagaimanapun tidaklah terlalu menekankan ke arah itu kerana dengan keadaan galeri yang ada sekarang beliau bebas menghasilkan produk tanpa sebarang tekanan. Jika memperbesarkan perniagaan berkenaan tentunya beliau akan memikirkan tentang pekerja dan sebagainya termasuk operasi dan pengurusannya selain keperluan membayar sewa bangunan lain yang lebih besar yang memerlukan kos yang tinggi.

Walau bagaimanapun, cadangan seperti itu pun sememangnya perlu memandangkan keadaan pasaran sekarang yang banyak persaingan memerlukan beberapa perubahan, apatah lagi dapat menyebarkannya dalam dunia maya seperti internet akan lebih memberikan impak kepada produk yang dihasilkannya itu.

Katanya, beliau tidak dapat menafikan tentang cabaran terhadap produknya apabila sambutan pelanggan kadang-kadang agak dingin. Apabila hal ini berlaku, tentunya akan hilang minat untuk menghasilkan produk yang berkualiti kerana tertekan dengan keadaan itu. Apatah lagi cabaran yang timbul apabila produk telah siap dihasilkan, namun pelanggan yang ditunggu supaya memungut tempahan mereka tidak berbuat demikian, tentunya jika tiada sifat sabar kita akan mudah berasa jemu.

Justeru, harapan beliau terhadap pelanggan supaya mendapatkan produk tersebut di kedainya. Bukan sahaja nilai harga yang mampu dibeli, namun paling penting kita dapat menilai kerja-kerja seni dan dapat memperkayakan khazanah rotan yaang berasal dari hutan di negara kita sendiri.

Abdul Suki Muhammad di kedai miliknya, Ki Gallery.

Abdul Suki ketika ditemubual Penulis.


Sebahagian bingkai dan gambar yang dihasilkannya.

Pembantunya, Kak Yah (kiri) merupakan tenaga mahir yang menjadi harapannya.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan