RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipasak.blogspot.com

Khamis, 29 Disember 2011

Rawat Dengan Al-Quran


RAWAT DENGAN AL-QURAN

MACHANG, KELANTAN:  TIDAK semua Pengamal Rawatan Tradisional dapat merawat penyakit melalui amalan berdasarkan tunjuk ajar daripada guru walaupun hakikatnya setiap pelajaran memerlukan kepada bantuan dan bimbingan guru. Namun percayalah setakat Penulis menemubual pengamal rawatan tradisional di Kelantan, inilah kali kedua pengamal yang dimaksudkan mendakwa tidak pernah mendapat tunjuk ajar daripada mana-mana guru.

Pengamal Rawatan Tradisional yang dimaksudkan ialah Derasid bin Seman, 115, atau lebih dikenali Paksu Derasid dari Kampung Bukit Besi, Temangan Lama dekat sini adalah sesuatu yang agak luar biasa yang dianugerahkan kelebihan oleh Allah kepadanya.

Menurut Paksu Derasid yang berasal dari Kampung Kangkong, Pasir Mas, Kelantan dan sebagai peneroka tanah hutan di Kampung Bukit Besi itu berkata, sebelum zaman pendudukan Jepun di Kelantan beliau adalah seorang remaja yang tidak mempunyai sebarang kelebihan luar biasa. Namun, mungkin berkat amalan sering membaca dan mengamalkan setiap kandungan ayat-ayat dan surah di dalam Al-Quran kerana kitab berkenaan mempunyai banyak khasiat serta kelebihan yang sepatutnya dibaca dan dikaji selalu, sedikit sebanyak sebagai penyebab beliau mendapat ilham sedemikian terus daripada Allah.

Beliau yang mengalami masalah pendengaran akibat faktor usia dikatakan tidak ingin dikenali sebagai "bomoh", hanya mengetahui malah memperolehi kelebihan merawat pesakit yang ditimpa kesulitan selepas Jepun menyerah kalah, akur dengan pemberian Allah. Tambahnya, terdapat seorang pesakit yang datang ke rumahnya memerlukan bantuannya supaya merawat masalah yang dialami. Pada mulanya, beliau enggan menurut kehendak pesakit tersebut kerana beliau tidak pernah belajar atau menerima sebarang amanat daripada mana-mana guru sebagaimana pengalaman pengamal rawatan tradisional yang lain.

Mendengar penjelasannya itu menyebabkan pesakit berkenaan agak hampa kerana pada masa itu belum terdapat seorang perawat tradisional yang mampu merawat pesakit bahkan belum wujud kemudahan klinik dan hospital sebagaimana hari ini. Namun, berikutan tidak ingin menghampakan kehendak pesakit yang datang dari jauh, beliau cuba berikhtiar dengan berserah terus ke hadrat Allah. Berkat keyakinan hatinya yang putih bersih bahawa Allah yang mendatangkan penyakit, maka Allah juga yang menyembuhkannya, penyakit yang dialami oleh pesakit tersebut sembuh dengan sempurna.

"Dari situlah Paksu mendapat kepercayaan dari kebanyakan orang ramai untuk datang mendapat rawatan yang sepatutnya", ujarnya ketika ditemui Penulis di kediamannya di Kampung Bukit Besi itu.

Tambahnya lagi, di antara rawatan yang dilakukannya bukan sahaja melibatkan penyakit kulit seperti bertih (tompok-tompok hitam), campak, panau, resdung dan kanser (barah). Namun beliau akan berikhtiar untuk menyembuhkan semua jenis penyakit dengan izin Allah.

Hari ini, ramai pesakit selain yang pernah menerima rawatan daripada pihak klinik dan hospital bukan sahaja dari Kelantan seperti Kota Bharu, Pasir Puteh, Tumpat, Kuala Krai, Gua Musang dan Machang. Namun menurutnya, terdapat juga pesakit dari luar Kelantan datang mencarinya semata-mata ingin mendapatkan khidmat rawatan darinya.

Beberapa orang penduduk setempat mendakwa, penduduk di kampung itu termasuk kampung berjiran seperti Kampung Temangan Lama, Kampung Kerilla, Kampung Pasir Senor, Temangan Bandar, Kampung Bedal, Kampung Temangan Tengah dan Pertok akan menghadapi masalah sekiranya Paksu Derasid meninggal dunia. Ini menurut mereka, berikutan amalannya tidak bersandarkan kepada guru sudah tentu tidak diperolehi ilmu yang sepatutnya yang sewajarnya perlu diperturunkan kepada pelajar-pelajar.

Walau bagaimanapun, Paksu Derasid sempat memberikan beberapa amanat dalam menghindarkan masalah penyakit supaya sentiasa ingatkan Allah dalam setiap detik dan ketika, usaha dan ikhtiarlah di atas dunia ini semasa kamu hidup malah Allah jangan dilupakan. Di samping hidup di dunia ini sekadar bekerja untuk bekalan ke kampung akhirat, itulah sebaik-baik ilmu.  


Derasid bin Seman atau Paksu Derasid.

 Inilah kediaman Paksu Derasid di Kampung Bukit Besi, Temangan Lama, Machang, Kelantan.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan