RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipasak.blogspot.com

Selasa, 13 Disember 2011

Misteri Kubur Kuda


MISTERI KUBUR KUDA

KOTA BHARU, KELANTAN:  MENDENGAR nama kubur sahaja hati menjadi kecut perut, kerana di situlah orang yang meninggal akan dikebumikan. Keadaan ini memberikan gambaran bahawa orang yang penakut jangankan sebut perkataan 'mati' tetapi apabila disebut nama 'kubur' sesetengah orang akan resah gelisah dibuatnya dan menunjukkan ketakutan yang amat sangat.

Hari ini, banya kubur baru wujud apabila seseorang yang meninggal dikebumikan di situ, namun tiada siapa menduga kubur lama atau kubur terbiar juga masih ditakuti oleh kebanyakan orang. Apatah lagi jika didakwa oleh penduduk tempatan sebagai 'kubur misteri' yang menyimpan banyak rahsia dan sejarah zaman silam.

Menyebut tentang kubur, seorang warga emas dan penduduk tempatan, Jaafar bin Ali, 65, atau dikenali Pak Par dari Kampung Pulong, Kubang Kerian dekat sini berkata, kampung berkenaan diberi jolokan adalah sempena dengan nama arwah neneknya, Mak Mah Tok Pulong yang menurutnya seorang wanita yang sangat bengis dan keras hati.

Menurut Pak Par, walaupun hari ini dikatakan zaman global malah sesetengah orang mendakwa tidak lagi wujud perkara-perkara misteri yang dikaitkan dengan kubur adalah tidak benar. Sebaliknya, walaupun kubur berkenaan adalah kubur lama, namun masih ada orang yang takut. Hal inilah yang berlaku terhadap 'kubur kuda' yang terdapat di kampung berkenaan sebagaimana yang diceritakan oleh neneknya ketika beliau masih kanak-kanak, bahawa ada suatu peristiwa penting yang belum diketahui oleh anak, cucu dan cicitnya berhubung dengan kewujudan kubur kuda itu.

Diceritakan bahawa, pada zaman dahulu telah berlaku pertempuran sengit di antara kedua-dua hulubalang istana menggunakan senjata lembing yang berlangsung berhampiran kubur tersebut. Dalam pertempuran itu, kedua-duanya telah terbunuh. Kuda dan hulubalang yang telah meninggal dunia  itu telah dikebumikan di situ uga. Beliau masih belum pasti kedudukan arah kuda dan hulubalang yang meninggal itu kerana rupa bentuk batu nisan adalah hampir sama.

"Pada zaman dahulu, kubur kuda itu adalah bersempena dengan kematian dua orang hulubalang istana yang pernah bertarung menggunakan senjata lembing. Mereka telah menemui ajal berhampiran kubur tersebut dan dikatakan dikebumikan di kubur itu juga. Tak pastilah di sebelah mana kuda itu ditanam bersama hulubalang dimaksudkan itu", katanya menceritakan perihal kewujudan kubur kuda tersebut.

Katanya lagi, pada zaman dahulu penduduk tempatan terlalu takut untuk menggunakan laluan masuk berhampiran kubur kuda tersebut kerana dikatakan amat 'keras' dan berpenunggu. Pernah beberapa kali penduduk tempatan memberitahu bahawa mereka pernah terserempak dengan kemunculan lembaga jelmaan ular besar serta lembu jantan besar berwarna hitam berhampiran kubur kuda tersebut.

Kemunculan lembaga jelmaan makhluk halus dalam bentuk ular besar dan lembu jantan hitam tersebut menurutnya mungkin ada kaitan dengan terdapatnya tempayan emas dari dalam tanah yang pernah muncul dari kubur itu ketika hayat neneknya. Kemunculan tempayan emas itu juga serentak dengan turunnya hujan panas. Suatu hari, arwah neneknya pernah memukul tempayan emas itu menggunakan senjata parang yang ada di tangannya. Akibat tetakan yang kuat, tempayan emas itu telah sumbing.

Menurut cerita orang tua-tua, apabila sesuatu benda misteri seperti tempayan emas muncul tanpa disangka-sangka dan bagi memudahkan kita untuk menangkapnya hendaklah dipukul supaya sumbing dan pecah di mana-mana bahagian supaya tempayan berkenaan tidak dapat lari.  Ini kerana, tempayan emas misteri sebenarnya dipegang atau dijelmakan oleh makhluk halus untuk menandakan adanya harta karun di kawasan itu. Makhluk halus berbuat demikian untuk tujuan menyelamatkan harta karun itu daripada diambil oleh manusia. Apabila dijelmakan dengan berbagai-bagai perkara misteri dan aneh, sudah tentu manusia lemah iman tidak akan berusaha untuk mendapatkannya.

Namun begitu, walaupun tetakan itu telah terkena dan didapati sumbing, tempayan emas itu masih dapat melarikan diri dan terus bergolek turun ke telaga pancur. Menurut Pak Par, di kawasan kubur itu sewaktu ketika dahulu terdapat sebuah 'telaga pancur' yang amat besar yang menakung banyak air malah mengalir berhampiran kubur kuda tersebut. Tetapi kini, telaga pancur itu tidak lagi kelihatan kerana tertimbus disebabkan projek perumahan dan lebuh raya.

Apabila tempayan emas itu berjaya melarikan diri dan terus bergolek ke dalam telaga pancur menyebabkan orang ramai yang melihat dan ingin menangkapnya tidak berjaya.

Tambah Pak Par, walaupun kubur kuda yang menyerlahkan banyak peristiwa misteri yang berlaku, namun siapa sangka kubur kuda itu masih lagi wujud. Beberapa penduduk tempatan masih menggunakan laluan tersebut mendakwa jalan yang mereka lalui tiba-tiba hilang dari pandangan. Keadaan ini menyebabkan mereka tersesat. Ini menunjukkan, adanya makhluk halus di kawasan itu yang masih mengawal kubur tersebut.

Beliau menjelaskan, setakat ini tiada makhluk halus yang menjelma pelbagai rupa untuk mengganggu penduduk kampung. Boleh jadi ketika waktu dahulu makhluk itu ingin 'bergurau' sebab itulah menjelma dengan bentuk binatang.

Dalam hal ini, percayalah walaupun ada segelintir masyarakat yang menganggapnya sebagai karut, namun dari pengalaman orang-orang zaman dahulu boleh dijadikan sebagai panduan.

Justeru itu, janganlah menganggap cerita itu karut kerana darinya banyak kesan yang penuh pengajaran untuk kita jadikan pedoman. 



Jaafar bin Ali atau Pak Par ketika ditemubual Penulis di kediamannya di Kampung Pulong, Kubang Kerian.

Inilah Kubur Kuda, kedua-dua hulubalang yang mati dikebumikan bersama kuda masing-masing di kubur ini.

Kawasan menunjukkan tempat berlakunya pertempuran dua hulubalang istana yang dikatakan terbunuh di tempat itu juga.

Jalan masuk ke kawasan kubur yang didakwa penduduk tempatan adanya jelmaan binatang serta wujudnya tempayan emas.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan