RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipasak.blogspot.com

Selasa, 6 Disember 2011

Misteri Geliga Pasak Bumi


MISTERI GELIGA PASAK BUMI

KOTA BHARU, KELANTAN:  ADAKAH masuk akal jika ada individu mendakwa telah diberikan sebiji geliga dikenali 'Geliga Pasak Bumi' oleh Raja Kelantan Keenam, Paduka Cik Siti Wan Kembang yang memerintah pada tahun 1610 dan bersemayam di Gunung Dang Besar, kemudiannya ditukar nama kepada Gunung Chinta Wangsa, terletak kira-kira 40 kilometer ke Tenggara Kuala Krai sedangkan beliau telah lama meninggal dunia? Sama ada percaya atau tidak, itulah hakikatnya apabila geliga yang berwarna kuning itu benar-benar wujud dan diberikan oleh seorang yang mengaku dirinya Cik Siti Wan Kembang.

Di sebalik kisah yang dianggap pelik ini, Penulis cuba mencungkil dari pemiliknya yang juga Pengamal Rawatan Tradisional dan Ilmu Ghaib, Darus Mootalu, 44, dari Kedai Mulong, Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, pada suatu hari Jumaat jam 11.00 pagi pada tahun 2007, beliau bersama-sama isterinya berkunjung ke sebuah Taman Serendah Sekebun Bunga milik Cik Siti Wan Kembang, dulunya dikenali sebagai Kota Tegayong yang terletak di Pangkal Kalong, Ketereh untuk tujuan mencari ketenangan selain menyedut udaranya yang segar kerana tempat tersebut agak teduh dan suasananya juga agak mempesonakan.

Disebabkan sering ke tempat itu lebih-lagi lagi pada hari Jumaat, beliau yang tidak menyangka dapat menyaksikan dua orang perempuan tidak dikenali muncul di taman itu di mana kedua-duanya mempunyai persamaan. Setelah diberitahu oleh isterinya bahawa itulah Paduka Cik Siti Wan Kembang, Raja Kelantan Keenam yang dimaksudkan dan tempat beliau hadir ketika itu dikenali Kota Tegayong yang merupakan tempatnya bersemayam pada masa silam, beliau mula akur.

Tambahnya, ketika disaksikan kedua-dua orang perempuan itu agak seiras, namun salah satu jelmaan itu berambut panjang manakala Cik Siti Wan Kembang sebenar agak berbeza dengan mengenakan sehelai tudung Arab agak labuh berwarna kelabu termasuklah busana yang dipakainya. Sangkanya ada pengunjung berketurunan Arab turut santai-santai di situ, tetapi setahunya Cik Siti Wan Kembang sebenar memang berketurunan Arab yang merupakan seorang pedagang.

Beliau cuba membezakannya setelah melihatnya buat kali kedua mendapati salah satu makhluk itu adalah jelmaan (menyamar) dan memang agak berbeza apabila kedua-dua kakinya tidak berpijak bumi (kaki di awang-awangan). Cik Siti Wan Kembang sebenar pula didapati kaki kirinya berpijak bumi, manakala kaki kanannya pula tidak. Seraya tangan kanannya menggenggam sedikit tanah dari sebelah kanan tubuhnya untuk tujuan menguji yang manakah jelmaan atau sebaliknya menyebabkan makhluk yang menyamar itu bertempiaran lari lalu terus ghaib.

"Saya nampak perempuan pertama itu, kedua kakinya tidak berpijak bumi. Perempuan satu lagi tu, sebelah kaki kirinya berpijak bumi, manakala sebelah kanannya di awang-awangan.

"Saya gumpal tanah di sebelah kanan kerana mahu tahu yang mana jelmaan dan yang mana asli. Tiba-tiba yang menyamar itu terus ghaib", cetus Darus sambil melakonkan semula detik-detik pada hari itu.

Setelah menyaksikan jelmaan tersebut ghaib, Cik Siti Wan Kembang sebenar terus masuk ke dalam tubuhnya. Dengan tidak disangka, ketika isterinya sedang bersandar di sebatang tiang di taman berkenaan, bahu isterinya itu tiba-tiba dicuit seseorang. Dakwa Darus, pada masa itu beliau tidak mengetahui siapa yang masuk ke dalam tubuhnya hanya isterinya sahaja yang mengenalinya. Apabila tubuhnya dimasuki Paduka Cik Siti Wan Kembang yang dimaksudkan, beliau yang hanya sekadar tahu bahasa Indonesia sahaja tiba-tiba dapat bertutur dalam dialek Kelantan dengan begitu fasih sekali.

Melalui Darus Mootalu, beliau bertanya isterinya dalam dialek yang dimaksudkan tentang tujuan dia datang ke sini. Lantas isterinya menjawab, beliau datang ke taman itu untuk menyedut udara segar kerana setiap kali datang ke situ, jiwanya akan tenang. Pada masa itu juga, isterinya agak terkejut dengan secara tiba-tiba suaminya itu bersuara seperti perempuan. Lantas dijawab, itu bukanlah suaminya tetapi Cik Siti Wan Kembang.

"Ketika itulah Cik Siti Wan Kembang itu menyatakan ada sesuatu yang ingin diberikan iaitu Geliga Pasak Bumi dan isteri saya meminta agar geliga itu dihantar ke rumah. Dan menurut Cik Siti Wan Kembang, selepas saya solat Asar, akan ada benda di atas sejadah saya nanti", terangnya.

Menjelang petang, mereka berdua pulang ke rumah untuk menunaikan solat Asar. Setelah Darus selesai menunaikan solat, beliau pun bagun dari sejadah dan dengan tidak sengaja beliau terlihat ada objek bulat muncul di atas sejadah yang dimaksudkan. Apabila terlihat oleh isterinya akan objek bulat berwarna keemasan itu, beliau akur dan mengakui bahawa objek tersebut adalah pemberian Cik Siti Wan Kembang berupa sebiji geliga.

Selepas memperolehi geliga tersebut, Cik Siti Wan Kembang meminta mereka berdua berkunjung ke taman itu sebagaimana selalu selama tujuh hari berturut-turut. Namun, mereka hanya mampu ke tempat itu selama tiga hari sahaja kerana isterinya demam.

Disebabkan gagal mematuhi kehendak Cik Siti Wan Kembang itu, pada suatu hari semasa di rumahnya, isterinya terdengar suara burung yang agak pelik dari kebiasaannya. Burung tersebut amat cantik, bulunya agak halus dan terdapat warna kekuningan bercampur coklat dan biru.

Kata orang burung tersebut dikenali 'Burung Cenderawasih'. Burung itu bertandang ke rumahnya selama tiga hari berturut-turut dengan suara yang sama. Masuk hari keempat, isterinya mengajaknya ke taman itu dan ketika tiba di sana, tubuh Darus Mootalu terus dimasuki Cik Siti Wan Kembang.

Ketika itulah Cik Siti Wan Kembang itu bertanya kenapa mereka tidak datang ke taman itu selama tujuh hari seperti dipinta. Dan menurut isterinya, dia tidak sihat dan kerana itulah permintaan itu tidak dapat dipenuhi.

Justeru, Cik Siti Wan Kembang meminta agar mereka mencukupkan jumlah hari yang masih tinggal iaitu selama empat hari untuk datang ke taman tersebut. Dan selepas mencukupkan hari yang ke tujuh, dengan tidak disangka, mereka dapat melihat bunga-bungaan berkembang cukup cantik dan mekar dengan banyaknya seperti sebuah taman yang cukup indah. Dan itu hanya dapat dilihat oleh mereka berdua sahaja.

Melihatkan keindahan bunga-bungaan yang terdapat di taman itu, isterinya meminta izin untuk memetik salah satu bunga yang terdapat di situ dan Cik Siti Wan Kembang mengizinkannya.

Selain itu, beliau juga diberikan wang Arab zaman dahulu tertera pohon kurma. Dan beliau diberitahu ialah sebagai tanda Cik Siti Wan Kembang sebenar. Kejadian yang berlaku pada pukul 12.00 tengah hari iaitu hari Jumaat dalam tahun 2007 itu agak mengejutkannya dan isterinya kerana selain dapat mengenali Cik Siti Wan Kembang, beliau turut menerima hadiah yang tidak disangka-sangka.

"Ketika Cik Siti Wan Kembang ada di situ, macam ada tiupan angin lembut, sejuk rasanya. Hairannya waktu tengah hari pun rasa sejuk", jelas Darus.

Sambung Darus lagi, Cik Siti Wan Kembang memberitahunya, semasa beliau memegang tampuk pemerintahan berkerajaan di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai dulu, Geliga Pasak Bumilah yang menjadi temannya dan kerana itulah seluruh rakyat jelata termasuk golongan yang hebat dan handal-handal hibup di bawah kerajaannya dengan aman sentosa tanpa sebarang sengketa selain untuk menjaga keselamatan dirinya.

Tambahnya, bukan sahaja Geliga Pasak Bumi yang berkemungkinan disimpan oleh Cik Siti Wan Kembang di sebelah atas tebing tersebut yang pada masa dulu merupakan singgahsananya sebagai kerajaan keduanya yang banyak memaparkan tentang sejarah silam, namun baginya banyak lagi batu-batu permata lain yang wujud di situ yang tidak diketahui oleh orang ramai dan pengunjung yang sering ke taman itu. Manakala dalam kolam yang dikenali 'Kolam Batu Karang' pada masa dulu banyak terdapat emas bernilai yang menjadi rebutan pelbagai pihak.

Katanya lagi, Cik Siti Wan Kembang memberitahunya, Geliga Pasak Bumi yang diperolehinya itu boleh dijual dan beliau memang tahu bahawa mereka berdua tidak ingin menjualnya. Namun, disebabkan geliga berkenaan ada yang lebih memerlukannya, adalah amat munasabah ia dijual.
  

Pengamal Rawatan Tradisional dan Ilmu Ghaib, Darus Mootalu.

Inilah Geliga Pasak Bumi yang dimaksudkan.

Geliga dalam air masin (kiri), kelihatannya separuh timbul.

Geliga dalam air tawar (kanan), kelihatannya tenggelam.


Inilah Taman Serendah Sekebun Bunga, milik Cik Siti Wan Kembang yang sering dikunjungi kedua-dua pasangan itu.

Di sinilah Cik Siti Wan Kembang muncul di taman itu, di atas tebing ini suatu ketika dahulu adalah singgahsananya.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan