RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipasak.blogspot.com

Jumaat, 16 Disember 2011

Misteri Bertemu Toyol


MISTERI BERTEMU TOYOL

KOTA BHARU, KELANTAN:  TOYOL menurut Kamus Dewan bermaksud hantu atau orang halus yang suka mengganggu orang. Manakala bagi kepercayaan orang Melayu, toyol adalah makhluk halus yang rupa parasnya seperti kanak-kanak lelaki, berkepala botak, berperut buncit, berkulit kehitaman dan berketinggian kira-kira satu meter serta suka merayau-rayau mencuri duit.

Bercerita tentang toyol, Wan Ahmad Juhaidi Wan Mahmud (enggan disiarkan gambar), 35, atau lebih mesra dengan panggilan Pok Su, ingin berkongsi pengalamannya bertemu dengan makhluk tersebut.

Kisah tersebut berlaku sekitar tahun 1989 iaitu ketika beliau berusia 18 tahun. Waktu itu dia seorang remaja yang lincah dan nakal yang gemar berkunjung ke rumah rakan-rakan terutamanya di waktu tengah malam bersama teman rapatnya seperti Nublan dan Adnan.

Sedang asyik berbual di rumah Nublan, tanpa disedari jam sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Dengan ditemani Adnan, mereka melalui lorong yang agak sempit, sunyi dan dipenuhi belukar yang agak tebal.

Ketika melalui lorong sempit yang ditumbuhi semak-samun dan lalang yang tumbuh subur berhampiran dengan jambatan biru yang dikenali Jambatan Kubur Langgar, dia terpandang sesusuk lembaga seperti seorang kanak-kanak dengan ketinggian satu meter, perut buncit dan mempunyai sepasang kaki yang agak kecil.

"Pok Su memang nampak dengan jelas lembaga budak itu muncul dari atas jambatan itu", katanya menceritakan pengalamannya bertembung dengan toyol yang dimaksudkan budak. 

Keadaan tubuh badan lembaga seperti kanak-kanak lelaki itu dapat dilihat seperti satu bayang-bayang atau 'halusinasi' di mana objek lain dapat dilihat melalui tubuh badan lembaga itu yang secara tiba-tiba muncul di atas jambatan terbabit pada pagi itu.

Pada mulanya, mereka menyangka lembaga itu adalah kanak-kanak biasa, namun apabila difikir dan diamati kembali, mana mungkin seorang kanak-kanak sebesar itu berani merayau seorang diri pada waktu seperti itu. Tetapi mengingati pesan orang tua yang menyatakan bahawa kawasan tersebut seringkali muncul toyol di situ, maka apa yang mereka lihat itu adalah toyol yang dimaksudkan.

Mereka juga dapat melihat dengan jelas toyol tersebut berjalan melompat-lompat sedang menuju ke arahnya sebelum memasuki rumpunan lalang di hadapan jambatan tersebut. Sebaik sahaja toyol itu memasuki semak tersebut, keluar tiga ekor kunang-kunang dari kawasan itu.

Terkejut dengan peristiwa pelik itu, mereka terus berlari sekuat hati meninggalkan kawasan berkenaan. Kerana keletihan yang amat sangat akibat berlari terlalu laju, mereka berhenti seketika untuk menghilangkan penat tanpa menyedari bahawa mereka berhenti di kawasan Makam Diraja. Apabila terpandang akan banyaknya kubur di kawasan itu, mereka terus berlari sekuat hati meninggalkan kawasan berkenaan.

Menurut Pok Su, selain pernah terserempak dengan toyol, dia juga pernah disakat hantu Cina yang amat popular digelar 'hantu Tok Cha' di kalangan penduduk negeri ini.

Malam itu, ketika pulang dari rumah rakannya Nublan dengan menaiki sebuah motosikal usang yang dipinjamnya dari seorang rakannya, Nublan sempat berpesan agar berhati-hati kerana banyak laluan di kampungnya itu menjadi tumpuan polis mengadakan sekatan jalan raya.

Hatinya mula berbelah bahagi apabila memikirkan jalan mana yang patut dilalui. Jika melalui jalan di Restoran Arabia, dia akan bertembung dengan sekatan polis dan jika dia melalui lorong berhampiran rumah guru, dia akan bertembung dengan sebuah pokok yang sering diduduki hantu Tok Cha.

Setelah difikirkan, akhirnya dia mengambil keputusan untuk melalui lorong berhampiran rumah guru. Dalam perjalanan tersebut, dia telah bertembung dengan satu benda berbonggol seperti mayat di atas jalan. Namun, dia tidak mempedulikan benda tersebut dan dengan berani merempuh bonggolan itu. Akan tetapi motosikalnya mati dengan tiba-tiba.

Setelah berkali-kali berusaha menghidupkan enjin motosikalnya, akhirnya berjaya. Dan ketika itulah dengan tidak semena-mena, dia terhidu bau yang cukup wangi yang entah dari mana datangnya. Setelah diamati, bauan itu datangnya dari sebatang pokok di sebelah kiri jalan yang pernah dilaluinya.

Dan ketika melalui pokok besar itu, tiba-tiba enjin motosikalnya terhenti sekali lagi. Malah kali ini tanpa berlengah lagi, dia terus turun dan menolak motosikal itu sehinggalah tiba di jalan utama. Apabila beliau tiba di rumahnya, abang perasan tentang masalah yang dihadapinya lalu diberitahu beliau bahawa dia disakat hantu tok cha berhampiran kubur tersebut.

Justeru katanya, Hantu Tok Cha seringkali muncul di kawasan kubur di situ kerana kawasan kampung itu banyak diwujudkan deretan tanah perkuburan seperti Kubur Wangi dan Kubur Maras. Hantu Tok Cha sebagaimana yang dilihatnya berpakaian kuning, berdiri kaku di hadapan kubur yang dilaluinya dan berwajah gelap untuk tidak membenarkan manusia mengenalinya.   


Di atas jambatan biru inilah Pok Su bertembung dengan toyol yang muncul secara tiba-tiba.

Dulu kawasan ini dipenuhi lalang tempat toyol itu masuk dan keluarnya tiga ekor kunang-kunang.
 
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan