RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmipasak.blogspot.com

Ahad, 1 Januari 2012

Belajar Ilmu Kebatinan


BELAJAR ILMU KEBATINAN

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  MEMPELAJARI ilmu kebatinan bukanlah bertujuan untuk bermegah kononnya boleh digelarkan sebagai seorang yang hebat. Tidak juga untuk menimbulkan perasaan membanggakan diri kerana sifat-sifat berkenaan akan membawa natijah buruk dan boleh memakan diri sendiri. Namun mempelajari ilmu berkenaan atas dasar minat, ingin membantu masyarakat yang memerlukan khidmat selain dapat mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.

Seorang Pengamal Ilmu Kebatinan dan Rawatan Tradisional, Lokman Tee bin Abdullah, 47, dari Jalan Chederung Batu dekat sini mengakui hakikat itu.

Menurut Lokman Tee atau lebih mesra dengan panggilan Abang Man berkata, beliau belajar ilmu berkenaan dari seorang guru Indonesia berbangsa Bugis bernama Raja Mudim Raja Mohamed atau disebut juga sebagai Patawari. Katanya, pada masa itu usianya baru menjangkau 20 tahun dan masih belum berkahwin malah beliau mempelajarinya sekadar untuk dirinya sendiri sahaja.

Tambahnya, beliau diperkenalkan kepada gurunya oleh seorang rakan rapatnya di To' Uban, Pasir Mas, Kelantan. Selepas itu gurunya itu berpindah dan menyewa sebuah rumah di Kemumin, Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu dan sekarang Patawari berada di Johor.

Pada masa sedang menuntut, beliau tinggal bersama dengan gurunya di mana dalam tuntutan itu beliau perlu berpuasa buat kali pertama selama 44 hari. Menurutnya, pada masa itu, beliau baru memeluk Islam selama tiga tahun dan dalam masa yang sama perlu pula berdepan dengan puasa dalam tempoh itu. Keadaan ini menurutnya agak tertekan dan beliau pada mulanya berasa takut juga dengan syarat-syarat tersebut.

"Walau berasa takut dengan syarat itu apatah lagi disebabkan hasrat dan tekad dalam hati untuk memperolehi ilmu itu, Abang Man teruskan berpuasa selama 44 hari sebagaimana yang diarahkan oleh guru", ujarnya.

Selepas itu, untuk kali keduanya gurunya mengarahkan Abang Man supaya berpuasa selama 90 hari dan buat kali ketiga selama 90 hari pula. Dalam sessi itu bermakna, waktu siang hari Abang Man perlu berpuasa manakala pada sebelah malamnya beliau perlu belajar di mana dalam tempoh itu Abang Man perlu memperbanyakkan solat termasuk solat sunat dan menghafal ayat-ayat yang telah diberikan oleh gurunya.

"Di samping itu, Abang Man juga perlu belajar ilmu persilatan. Ketika itu, Abang Man sering mengikuti ajakan guru untuk merawat pesakit yang diganggu makhluk halus termasuk melakukan pembersihan premis dan rumah-rumah kediaman individu yang diganggu makhluk halus dengan kaedah ajaran guru.

"Pada masa itu, Abang Man boleh dikatakan sebagai pembantu guru di mana Abang Man diberikan pelbagai kaedah dan tips untuk merawat pesakit melalui ilmu yang dipelajari", jelas Abang Man.

Abang Man menambah, pada masa menuntut ilmu itu beliau belum lagi memasuki alam pekerjaan malahan selepas tamat belajar dan terpaksa berpisah dengan gurunya, di saat itulah beliau memohon pekerjaan dengan sebuah syarikat swasta selama 10 tahun sebagai Pengurus Syarikat.

Pada tahun 1998 apabila ekonomi negara dalam kegawatan, beliau meletakkan jawatan. Dalam tempoh itu, beliau terpaksa menganggur dan terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk mendapatkan sumber kewangan. Bermula dari situlah (dalam masa menganggur), beliau banyak didatangi pesakit yang memerlukan khidmatnya sebagai perawat tradisional. Atas dasar belum yakin dengan kebolehan yang dimiliki, beliau cuba menolaknya, namun atas dorongan isterinya supaya tidak menghampakan harapan pesakit, beliau memulakan tugas sebagai seorang Pengamal Rawatan Tradisional sehingga hari ini.

"Kes paling banyak yang Abang Man terima adalah berhubung dengan kehilangan barangan. Ramai juga mangsa yang datang mendakwa mereka kehilangan barangan dan setakat yang Abang Man usahakan, Alhamdulillah dengan izin Allah Taala, barangan yang hilang diperolehi semula oleh pemiliknya.

"Untuk mendapatkan barangan yang hilang itu Abang Man akan lakukan solat hajat biasa secara istiqomah (tepat) dengan target 7 hari, 7 hari dan 44 hari, 44 hari", katanya.

Katanya lagi, di antara pengalaman beliau adalah ketika memberikan khidmat terhadap salah seorang yang kehilangan haiwan ternakan (lembu). Menarik menurutnya, pencuri lembu itu telah mengembalikan semula kepada pemiliknya lalu menambatnya di tangga rumah pemilik asal haiwan ternakan itu. Selain itu menurutnya, beliau turut mengusahakan salah seorang mangsa yang kehilangan sebuah motosikal yang akhirnya motosikal yang dimaksudkan itu ditemui kembali.

"Dari segi bayaran, Abang Man tidak meletakkan sebarang harga semasa melakukan rawatan, semuanya atas ikhlas pesakit semata-mata. Abang Man tidak menitikberatkan soal bayaran sama ada cukup ataupun tidak asalkan khidmat yang diberikan berjaya", tambah Abang Man apabila ditanya tentang bayaran khidmat yang sepatutnya diberikan oleh pesakit atau mangsa.

Menurut Abang Man, semenjak kejayaan mangsa pertama dan seterusnya, sejak dari tempoh itulah bermulalah kerjayanya sebagai seorang Pengamal Rawatan Tradisional apabila kejayaan dan kemampuannya semakin diketahui umum dan sering mendapat tumpuan ramai. Beliau sebenarnya tidak meletakkan sebarang iklan supaya lebih dikenali dan diketahui ramai, tetapi sekadar makluman semata-mata dan berdasarkan perbualan dari mulut ke mulut oleh pesakitnya sendiri yang seterusnya merebak ke kampung-kampung lain sehinggalah ke seluruh daerah lain di Kelantan.

Tambah Abang Man, misalnya rawatan yang melibatkan gangguan makhluk halus, apabila mangsa datang ke rumahnya, beliau akan merawatnya secepat yang boleh. Caranya beliau akan laksanakannya melalui ilmu kebatinan untuk melihat di mana makhluk halus itu bersembunyi dalam tubuh pesakit. Manakala dalam proses rawatan pula, beliau akan berhajat dan bermunajat dengan memohon doa kepada Allah supaya masalah sedemikian turut dibantu dan diselesaikan oleh Allah S.W.T.

"Cara mengesan adanya makhluk halus dalam tubuh pesakit, Abang Man akan bersyahadah dengan mengucapkan 'ashaduallah illah hailallah', di masa itu Abang Man akan menafikan kuasa manusia ini dengan hanya bergantung harap kepada kuasa Allah S.W.T sahaja, dalam masa itulah melalui firasat Abang Man akan dapat melihat di mana makhluk halus itu sedang menghuni dalam tubuh mangsa", katanya.

Menurut Abang Man lagi, dalam soal memagar kawasan premis atau rumah-rumah kediaman untuk mengelakkan daripada gangguan makhluk halus dan manusia yang berniat serong, beliau akan melakukannya di rumah mangsa sendiri di mana beliau bersama dua atau tiga orang akan menunaikan solat hajat di rumah mangsa. Di antara bahan-bahan yang diperlukan untuk tujuan itu yang perlu disediakan oleh tuan rumah adalah sedikit bijan hitam dan garam.

Sekarang ini menurutnya, disebabkan kemampuan dan kebolehannya dapat merawat pesakit dan berjaya sepenuhnya, ramai juga yang datang ke rumahnya semata-mata untuk belajar ilmu seumpamanya dan jumlah pelajarnya sekarang mencecah 60 orang. Kebanyakan pelajar-pelajarnya itu terdiri daripada beberapa orang pesakit yang pernah datang menerima rawatan darinya. Malahan menurutnya, kebanyakan yang datang belajar untuk dirinya sendiri dan membuang penyakit mereka dengan kaedah paling mudah.

"Abang Man juga pernah merawat seorang pesakit kencing manis apabila pihak doktor terpaksa memotong kakinya disebabkan penyakit itu telah merebak. Untuk mengelakkan kakinya dipotong, pesakit berkenaan datang menemui Abang Man kerana amat yakin dengan rawatan paling mudah yang Abang Man perkenalkan. Selepas menerima rawatan, dalam beberapa hari sahaja penyakit kencing manis itu sembuh sepenuhnya.

"Manakala kakinya yang perlu dipotong itu pulih seperti sediakala. Dan sekarang pesakit itu berada di Mekah. Paling Abang Man bangga apabila pesakit itu sendiri boleh melakukan rawatan terhadap dirinya sendiri pula", jelas Abang Man sambil tersenyum simpul apabila ilmu yang dipelajarinya itu dapat dimanfaatkan bersama.

Apabila ditanya, adakah beliau berhasrat untuk menubuhkan Pusat Rawatan Islam sebagaimana pusat-pusat rawatan tradisional lain, beliau menjelaskan bahawa setakat ini beliau masih belum berkemampuan lagi. Bukan tidak mampu dari segi sumber kewangan tetapi belum mengetahui tentang bagaimana untuk memperolehi status atau taraf untuk tujuan menubuhkan pusat rawatan seumpamanya. Apatah lagi, dalam keadaan sekarang beliau masih lagi belum bersedia.

Di samping itu, Abang Man juga tidak menolak dan tidak menafikan bahawa histeria yang dialami oleh beberapa sekolah baru-baru ini merupakan gangguan daripada makhluk halus, ini kerana syaitan pernah bersumpah akan mengganggu, melakukan tipu daya dan menyesatkan umat manusia sehingga hari kiamat. Justeru menurut Abang Man, kita kena yakin makhluk berkenaan memang wujud sebagaimana manusia juga di mana individu yang mempunyai semangat yang lemah pastinya akan mudah diganggu makhluk berkenaan.

"Cara untuk mengatasi masalah gangguan ini kita kena yakin bahawa kita adalah satu-satunya makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T  yang mempunyai keistimewaan dan kekuatan tersendiri malahan gangguan-gangguan yang diterima dan dialami manusia dapat ditangkis dan diatasi dengan keyakinan jitu kita terhadap Allah S.W.T", terangnya.

Sementara itu, permasalahan santau dan sihir  ini memang wujud sejak dahulu kala lagi, maknanyadari zaman berzaman perbuatan berkenaan memang ada. Contohnya tentang sihir menurut pandangannya banyak dilakukan oleh individu yang dengki khianat melalui makanan dan minuman, boleh dihantar melalui telefon, angin ataupun daripada jurus atau gerak jauh mahupun gelombang.

Di akhir perbualan, beliau menjelaskan makhluk halus sebenarnya boleh dilihat dan didengar. Cuma kita perlukan kekuatan untuk membezakan yang mana benar iaitu benda baik mahupun yang jahat. Dalam soal ini menurutnya, pengalaman berhubung hal-hal sedemikian amat perlu. Paling penting dalam amalannya perlu memperbanyakkan zikir malahan beliau mendidik pelajar-pelajarnya supaya memperbanyakkan puasa dan solat sunat.

Cara ini sebagai kaedah untuk mendekatkan diri kita terhadap Allah S.W.T  di samping membersihkan diri. Apabila diri kita bersih, insya Allah makhluk-makhluk yang mengganggu manusia itu akan mudah dilihat dan didengar dengan izin Allah. Mustahaknya setiap perintah kebaikan jangan diabaikan atau ditinggalkan, manakala kerja-kerja buruk, tidak berfaedah dan dianggap sesat itu perlu ditinggalkan barulah akidah kita selamat.

Abang Man boleh dihubungi melalui telefon:
013-9232988


Lokman Tee bin Abdullah atau Abang Man.

Abang Man ketika ditemubual Penulis di kediamannya.

Salah seorang mendaftarkan diri untuk turut serta.

Sebahagian pelajar di majlis ilmu.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan